KUALA LUMPUR – Malaysia perlu melihat kepada terma dan syarat (T&C) yang disertakan dengan pinjaman dalam mata wang yen dari Jepun untuk memastikan kredit yang diperoleh akan mengurangkan hutang kerajaan, kata pakar ekonomi.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Profesor Emeritus Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, butiran seperti jumlah pinjaman dan jika ia melibatkan pakej perdagangan tertentu yang hanya memihak kepada Jepun, akan menjadi elemen utama yang perlu dikaji oleh Malaysia secara menyeluruh.

“Misalnya, adakah T&C melibatkan syarat dagangan yang berat sebelah yang memerlukan kita mengeksport minyak dan gas atau minyak sawit kita pada harga tertentu dalam tempoh masa tertentu? Atau adakah ia berkaitan dengan pembukaan cawangan universiti Jepun di Malaysia?

“Ini adalah perincian yang perlu kita kaji sebelum kita mendapat pinjaman,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat permohonan kepada rakan sejawatannya dari Jepun Shinzo Abe untuk memberi kredit yen dalam bentuk pinjaman mudah bagi membantu menyelesaikan hutang kerajaan Malaysia yang melebihi RM1 trilion semasa lawatan rasmi beliau ke Tokyo, baru-baru ini.

Zakariah mengingatkan pinjaman ini juga boleh digunakan sebagai ‘instrumen’ bagi kerajaan Jepun untuk mengukuhkan kedudukan kewangan mereka di Asia Tenggara, berdasarkan Malaysia yang terletak secara strategik di rantau ini.

“Dari perspektif ekonomi politik, Jepun masih mahu mempunyai kedudukan yang penting di rantau ini di mana China turut menunjukkan minat yang tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, pakar ekonomi itu berkata jika pinjaman tersebut diberi kadar faedah yang rendah, seperti 0.7 peratus yang ditawarkan pada tahun 90-an, langkah itu akan memberi manfaat kepada Malaysia.

“Tetapi, sekali lagi kita perlu ingat bahawa keadaan pada tahun 90-an amat berbeza berbanding sekarang, susulan ekonomi China belum muncul pada masa itu.

“Oleh itu, saya tidak pasti jika pinjaman yang diberikan oleh kerajaan Jepun akan dapat membantu kita mengurangkan hutang kita, tetapi sudah tentu, kadar faedah yang rendah adalah lebih baik untuk menangani isu ini,” katanya sambil menambah Jepun juga bukan lagi ekonomi kedua terbesar di dunia seperti pada tahun 90-an.

Zakariah berkata, jika kredit yen menjadi kenyataan, ini akan menggalakkan lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) Jepun ke Malaysia, susulan mana-mana pinjaman akan menggambarkan hubungan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara.

Menurut Jabatan Perangkaan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Jepun mempunyai jumlah terkumpul FDI kedua terbesar sebanyak RM71.6 bilion di Malaysia pada tahun lepas manakala China, di tempat ketiga dengan RM65 bilion.
— BERNAMA