Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memuji model terbaharu Proton SUV selepas diberi peluang memandu uji kenderaan tersebut.

Beliau menyifatkan SUV itu sebagai sebuah kenderaan terbaik dan memiliki kualiti sangat tinggi.

“Saya fikir ia adalah kereta terbaik untuk pasaran Malaysia,” katanya pada sidang media Parti Pribumi Bersatu Malaysia di sini hari ini.

Jumaat lalu, Mahathir menemui wakil DRB-Hicom dan Kumpulan Geely di pejabatnya.

Diminta mengulas lanjut pertemuan itu, beliau menyifatkan dua entiti itu adalah menarik.

“Saya kenal Li Shufu (Pengerusi Zhejiang Geely Holding Group) sudah lama dan berjumpa beliau di China.

“Beliau bertanya apa rakyat Malaysia mahu dan saya terang, Proton mungkin diuruskan oleh Geely namun kami mahu rakyat tempatan terlibat untuk membekalkan komponen.

“Kami mahu beliau membawa pengeluar dari China untuk membantu pengeluar tempatan untuk bekerjasama daripada membawa masuk komponen dari negara lain yang menyebabkan vendor Malaysia tutup syarikat dan tidak adil buat mereka,” katanya.

Menerusi posting di laman sosial rasmi beliau hari ini, Mahathir berkata, pertemuan tersebut adalah untuk membincangkan hala tuju Proton yang mana 50.1 peratus kepentingannya dimiliki oleh konglomerat tempatan, DRB-Hicom manakala baki 49.9 peratus lagi dimiliki Kumpulan Geely. – MalaysiaGazette