AZhar Abdul Hamid
Pengerusi Malaysia Holdings Berhad (MSM), Datuk Wira Azhar Abdul Hamid bercakap pada sidang media sempena Mesyuarat Am Tahunan kali ke-7 MSM di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 JUN 2018

KUALA LUMPUR- “Ada anda lihat saya menyanyi (merujuk kepada klip video Hebatkan Negara)?

“Saya ada di sini kerana berkhidmat untuk MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) sebagai seorang pengerusi dan saya rasa saya selamat,” Datuk Azhar Abdul Hamid ketika ditanya mengenai nasibnya selepas terdapat desas desus mengatakan ramai ketua-ketua syarikat milik kerajaan dan syarikat pelaburan kerajaan diminta meletak jawatan atau tidak disambung kontrak selepas kerajaan Pakatan Harapan memegang tampuk pemerintahan negara.

Jelas Azhar, beliau bukan dilantik atas kapasiti politik dan nasibnya hanya akan ditentukan oleh MSM yang juga merupakan anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV).

“Sekiranya MSM merasakan saya tidak lagi diperlukan, jadi tidak perlulah saya lama di sini tetapi sekiranya mereka merasakan saya boleh menambah nilai kepada syarikat, saya akan terus kekal.

“Saya bukan lantikan politik. Saya seorang yang bebas selama ini di mana sahaja saya pergi, sama seperti di MSM. Saya cuba berpegang kepada prinsip tersebut kerana saya rasa lebih mudah dan saya kekal objektif serta lebih mudah untuk menguruskan sesebuah organisasi (apabila berpegang kepada prinsip tersebut),” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan MSM di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azhar memberitahu, syarikat pengeluar gula utama negara itu akan mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu tidak lama lagi.

Katanya, mengenal pasti calon sedang dijalankan dan syarikat gula itu dengan mempertimbangkan calon dalaman dan luaran.

Pada Januari lalu, MSM mengumumkan perletakan jawatan Datuk Mohamad Amri Sahari @ Khuzairi dan tempatnya dipangku oleh Mohd. Shafie Said.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast