KUALA LUMPUR – Dua syarikat penerbangan carter, Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd dan Suasa Airlines Sdn Bhd, turut menyuarakan pandangan yang sama dengan AirAsia menggesa kerajaan baharu membubarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Presiden Eaglexpress Kapten Azlan Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suasa Kapten Sheikh Salleh Abod berkata, badan kawal selia itu tidak memainkan peranannya dalam menggalakkan industri penerbangan untuk berkembang tetap sebaliknya menekannya.

“Mereka (Mavcom) boleh dikatakan membunuh kami (industri). Menteri Pengangkutan baharu perlu melihat semula fungsi-fungsi Mavcom sama ada ia masih lagi berdaya maju.”

“Kami berharap akan ada pertanggungjawaban (tidak seperti kerajaan sebelum ini) kerana Eaglexpress banyak berdepan dengan ketidakadilan Mavcom,” katanya pada satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Azlan dan Sheikh Salleh dengan tegas berpendapat bahawa Permit Perkhidmatan Udara (ASP), yang ketika ini diuruskan oleh Mavcom, harus dikembalikan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Mereka berkata sebelum penubuhan Mavcom, segalanya ditadbir di bawah CAAM bersama dengan Kementerian Pengangkutan dengan semua tugas dilaksanakan dengan cekap.

“Pada masa lalu apabila CAAM menguruskan industri penerbangan negara, ia kurang daripada 10 orang. Namun ia cekap dan tidak menanggung kos yang tinggi, yang saya rasa sekitar RM50,000 setahun,” kata Sheikh Salleh.

Mavcom ditubuhkan pada 1 Mac, 2016, di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 bagi mengawal selia hal ehwal ekonomi dan komersial berkaitan dengan penerbangan awam di Malaysia.

Susulan itu, permohonan bagi Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) atau ASP perlu dibuat menerusi Mavcom dan bukannya dengan CAAM.

Beberapa bulan selepas penubuhannya, Mavcom telah membatalkan ASP Eagleexpress pada Disember 2016 kerana syarikat penerbangan bagi umrah dan haji itu tidak memenuhi keperluan berkanun untuk memiliki minimum RM30 juta dalam akaun manakala lesen Suasa digantung. — BERNAMA