Vincent Tan
Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun

KUALA LUMPUR – Taikun Tan Sri Vincent Tan akan melupuskan kesemua pegangannya dalam syarikat T7 Global Bhd. berikutan kontroversi yang dikaitkan dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Jelas Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya itu bagi mengakhiri kontroversi tersebut sambil menyifatkan laporan yang menyifatkan laporan berita sebelum ini adalah berniat buruk apabila cuba mengaitkan tindakannya membeli saham T7 Global dengan keputusan kerajaan untuk tidak membatalkan projek ECRL selepas mengumumkan pembatalannya sebaik sahaja Pakatan Harapan memenangi piihan raya umum yang lalu.

“Saya percaya laporan-laporan berita dan komen-komen di media sosial adalah bertujuan untuk memalukan saya dan kerajaan baharu di Putrajaya.

“Saya tidak tahu yang T7 Global adalah salah satu kontraktor bagi projek ECRL,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Vincent, beliau telah mula melupuskan sebahagian daripada sahamnya dalam T7 sejak semalam dan berhasrat untuk menghapuskan kesemuanya dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, lelaki yang tersenarai antara 10 individu terkaya di Malaysia itu turut menafikan laporan berita yang mengatakan beliau melabur di dalam sebuah syarikat kewangan yang sedang membangunkan sebuah platform perdagangan yang dipanggil Bitcoin Formula.

Beliau turut menafikan telah melabur sejumlah RM525 juta kepada Tabung Harapan yang bertujuan mengumpul sumbangan bagi membayar hutang negara. – MalaysiaGazette