Syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity hari ini mengesahkan bahawa misi pencarian bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang telah berakhir. - foto Arkib MalaysiaGazette
Syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity hari ini mengesahkan bahawa misi pencarian bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang telah berakhir. - foto Arkib MalaysiaGazette

SYDNEY – Kerajaan Australia akhirnya akur dengan permintaan keluarga waris pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 supaya cadangan pembinaan sebuah tapak memorial di Perth, Australia dibatalkan.

Agensi berita melaporkan, Perdana Menteri Western Australia, Mark McGowan berkata, kerajaan persekutuan dan negeri memutuskan menghormati pandangan waris.

“Demi kepentingan semua yang terlibat, adalah diputuskan memorial ini tidak diteruskan pada masa ini. Kita perlu mengambil kira setiap pandangan terutamanya pandangan daripada keluarga mangsa sendiri.

“Ketika ini, cadangan memorial itu kita akan batalkan. Kita perlu fikirkan dan hormat pada waris mangsa juga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada awal tahun ini, kerajaan Western Australia mengeluarkan tender untuk projek memorial bernilai A$125,000 (RM373,110) di kawasan pembangunan terkemuka Elizabeth Quay.

Namun demikian, ahli keluarga mangsa MH370 membuat memorandum merayu agar kerajaan Western Australia membatalkan cadangan itu kerana ia masih terlalu awal.

Jelas mereka, sehingga kini insiden itu masih lagi menjadi misteri malah pelbagai petunjuk terus menjadi tanda tanya, adalah lebih baik cadangan memorial itu dibatalkan sehingga mendapat bahan bukti.

Pesawat Boeing, B777 yang hilang pada Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing yang membawa 239 penumpang masih tidak ditemui walaupun pencarian diketuai oleh Australia di selatan Lautan Hindi telah dilakukan.

Usaha mengesannya sejak empat tahun lalu yang mencecah belanja sehingga RM600 juta gagal menemui bangkai pesawat yang dipercayai terdampar di dasar Lautan Hindi.

Usaha mencari dihentikan bulan lepas setelah syarikat Ocean Infinity gagal mengesan pesawat semasa pencarian di kawasan seluas 125,000 km persegi di Lautan Hindi.

Malaysia memeterai perjanjian ‘tidak jumpa, tidak bayar’ dengan syarikat Amerika Syarikat itu pada Januari lepas untuk memulakan semula pencarian pesawat itu, setahun selepas pencarian rasmi dihentikan oleh Malaysia, Australia dan China. – Malaysia Gazette