Kumpulan pendidikan Cina yang pernah membantah secara keras sekolah wawasan pada 1990-an kecewa dan tidak dapat menerima apabila cadangan itu dibangkit semula oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Kumpulan pendidikan Cina yang pernah membantah secara keras sekolah wawasan pada 1990-an kecewa dan tidak dapat menerima apabila cadangan itu dibangkit semula oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Kumpulan pendidikan Cina yang pernah membantah secara keras sekolah wawasan pada 1990-an kecewa dan tidak dapat menerima apabila cadangan itu dibangkit semula oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Datuk Ong Chiow Chuen bertegas bahawa sekolah pelbagai aliran bukan punca masalah perkauman di negara ini.

Beliau juga tidak bersetuju dengan Perdana Menteri yang berpendapat bahawa sekolah pelbagai aliran menghalang perpaduan di negara ini.

Katanya lagi, konsep sekolah wawasan dibangkitkan pada 1995 dan 2000 dengan matlamat sebenarnya tidak lain dan tidak bukan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran di semua sekolah.

“Adalah mengecewakan apabila Dr. Mahathir mengungkitkan semula sekolah wawasan, ia menyebabkan kami berasa kerajaan baharu tidak berbeza dengan kerajaan terdahulu.

” Mereka mahu melaksanakan sekolah satu aliran dan memencilkan sekolah Cina dan Tamil, sesuatu yang tidak boleh kami terima,” katanya kepada Sinchew Daily.

Tambahnya, kenyataan “sekolah pelbagai aliran menghalang perpaduan” merupakan “taktik” yang biasa digunakan kerajaan terdahulu untuk “menghimpit” pendidikan bahasa ibunda.

Sementara itu, Datuk Pau Chiong Ung yang mewakili lembaga pengurusan sekolah bersubsidi di Sarawak berpendapat sekolah wawasan sebagai cadangan tidak praktikal.

Beliau sebaliknya berpendapat bahawa sekolah pelbagai aliran termasuk sekolah Cina di Sarawak merupakan pemangkin kepada perpaduan di Sarawak kerana menerima pelajar pelbagai kaum.

“Kalau mahu memperkukuhkan perpaduan, sekolah wawasan bukan satu-satu caranya, tetapi kerajaan perlu memberi layanan adil kepada semua sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang sarjana pendidikan, Pan Yong Qiang berkata, Perdana Menteri harus pandang ke hadapan dan cadangan sekolah wawasan hanya akan “mengaburkan” fokus transformasi pendidikan kerajaan.

“Hari ini sudah berbeza dengan hari-hari sebelumnya, dan masyarakat sedang bergerak ke hadapan.

” Perdana Menteri harus pandang ke hadapan dengan memfokus kepada pendidikan dan rakyat berkualiti serta menaikkan daya saing ekonomi,” katanya kepada China Press. – MalaysiaGazette