PRESIDEN Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dalam sidang media ketika menghadiri majlis sambutan Aidilfitri parti itu peringkat negeri di Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.
PRESIDEN Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dalam sidang media ketika menghadiri majlis sambutan Aidilfitri parti itu peringkat negeri di Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

PULAU PINANG – Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas kemenangan sebagai Presiden UMNO pada pemilihan parti itu semalam.

Menurutnya, beliau berharap Ahmad Zahid dapat mengemudi UMNO menjadi pembangkang yang kuat di Dewan Rakyat memandangkan Kerajaan Pakatan Harapan memerlukan pembangkang yang dapat menegur mereka sekali gus memastikan konsep semak dan imbang dapat dilaksanakan.

“Saya mengalu-alukan kemenangan Ahmad Zahid dan saya harap sekiranya terdapat apa-apa perkara yang tidak betul dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, mereka (UMNO) dapat menegur kita,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Amanah negeri di Sungai Dua, Tasek Gelugor, di sini hari ini.

Pada pemilihan semalam, Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dipilih secara rasmi sebagai Presiden UMNO kelapan selepas menewaskan empat pesaing lain.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memperoleh 93 undi, menewaskan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mendapat 51 undi.

Seorang lagi nama besar yang turut bertanding iaitu┬áveteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parlimen Gua Musang mendapat 23 undi. – MalaysiaGazette