Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kebimbangan mengenai perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China terus memberi tekanan kepada pasaran ekuiti Malaysia dan seiring dengan pergerakan pasaran saham global, namun keadaan itu kian positif apabila kadar aliran keluar dana modal itu kini semakin perlahan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, aliran keluar di pasaran ekuiti itu semakin berkurangan dengan kadar purata aliran keluar harian susut kepada kira-kira RM131 juta berbanding RM246 juta dalam bulan sebelumnya.

“Mungkin juga aliran keluar itu akan mencecah paras terendahnya tidak lama lagi kerana pasaran ekuiti yang secara amnya dalam keadaan mencatat jualan berlebihan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Selain itu, mengulangi pandangan sama, penganalisis MIDF Amanah Investment Bank, Adam Mohamed Rahim berkata aliran keluar modal di Malaysia bagi minggu ini tidak termasuk Jumaat, berada pada RM474.8 juta berbanding RM704.3 juta pada minggu sebelumnya.

Pada Khamis lepas, penanda aras saham tempatan, FTSE Bursa Malaysia KLCI juga buat pertama kalinya ditutup melebihi paras 1,700 sejak 20 Jun, 2018.

Menurutnya, berbanding empat negara ASEAN yang dipantau oleh MIDF – Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia, keadaan di Malaysia merupakan aliran keluar kedua terendah iaitu sebanyak RM8.01 bilion (kira-kira US$2 bilion) setakat tahun ini dan diatasi Filipina yang mencatat aliran keluar dana asing sebanyak US$1.28 bilion setakat tahun ini.

“Thailand merupakan negara dengan jumlah aliran keluar dana asing tertinggi dalam kalangan pasaran ASEAN yang kami pantau dengan jumlah sehingga US$6.11 bilion,” katanya.

Adam berkata, bagi minggu ini sahaja, Thailand adalah negara yang mencatat aliran keluar dana terbesar bernilai US$158.8 juta manakala Indonesia menjadi satu-satunya negara dengan aliran masuk dana mingguan setakat ini bernilai US$15 juta.

Beliau berkata, kebimbangan mengenai perang dagangan AS-China adalah penyebab utama kekalutan pasaran ekuiti dunia.

“Apabila pelabur menjadi tidak rasional, akan berlaku masalah atau keadaan yang menjejaskan apa dilihat sebagai nilai saksama saham dengan asas-asasnya,” katanya.

Selain kebimbangan mengenai perdagangan, beliau berkata faktor luaran lain yang mempengaruhi sentimen pelabur asing minggu ini adalah faktor geopolitik di Semenanjung Korea susulan Sidang Kemuncak bersejarah antara Presiden Donald Trump dan Kim Jong-Un pada 12 Jun lepas.

Menurutnya, satu mesyuarat telah dijadualkan antara AS dan Korea Utara pada Khamis bagi menyambung rundingan berhubung penghantaran pulang mayat tentera AS yang terbunuh ketika Perang Korea namun pegawai Korea Utara sebaliknya gagal hadir.

“Ini mencetuskan rasa kurang yakin dengan komitmen Korea Utara untuk melengkapkan usaha pemansuhan nuklear di Semenanjung Korea sebagaimana dipersetujui pada sidang kemuncak 12 Jun lepas,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, Adam berkata, trend aliran keluar dana asing daripada negara ini akan terus berlaku namun pada kadar lebih terkawal dengan syarat tidak berlaku sebarang kejadian luar jangka seperti sekatan dagangan antara AS dan China.

“Kami percaya elemen utama yang mempengaruhi pasaran ekuiti di seluruh dunia adalah pertikaian perdagangan yang berlanjutan antara AS dan China manakala musim pendapatan korporat Wall Street pula mungkin berperanan sebagai pemangkin positif,” katanya.

Menurut Adam, laporan terbaharu menunjukkan AS dan China terbuka untuk rundingan perdagangan susulan reaksi balas yang disifatkan sebagai perkembangan positif untuk pasaran di masa depan.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Dr Kamaruddin Mohd Nor berkata, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus pada akhir mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari baru-baru ini, adalah konsisten dengan jangkaan pendirian dasar bagi menyokong pertumbuhan domestik serta kestabilan harga.

Menurutnya, langkah itu juga dilihat sebagai pilihan tepat walaupun wujud beberapa hujah bahawa bank pussat itu perlu menaikkan kadar itu bagi mengurangkan aliran keluar modal.

“Aliran keluar modal yang kita lihat dalam beberapa bulan lepas adalah didorong oleh risiko sentimen di peringkat pasaran serantau dan bukannya hanya berlaku di Malaysia,” katanya.

Mengulas ringgit, beliau berkata unit tempatan itu dijangka diniagakan dalam jajaran antara paras 4.02 sehingga 4.05 berbanding dolar AS minggu depan, dipengaruhi oleh perkembangan membabitkan ketegangan dagangan global serta harga minyak.

“Ringgit dijangka menjejaki rapat prestasi indeks dolar AS dan kekal diasak tekanan dan menyamai nasib mata wang serantau lainnya.”

“(Sebarang) kenaikan kadar faedah yang lebih pantas dan di luar jangka oleh pihak Rizab Persekutuan AS, pengukuhan dolar AS dan ketegangan pertikaian perdagangan akan terus memberi kesan terhadap ringgit,” katanya.

Seorang lagi ahli ekonomi berkata, pergerakan ringgit dalam tempoh beberapa minggu mendatang akan turut bergantung kepada pengumuman membabitkan dasar di peringkat domestik dan luaran.

“Masih terlalu awal untuk menyatakan bahawa ringgit stabil. Malah BNM telah memberi sokongan terhadap ringgit sejak beberapa minggu lepas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau sependapat dengan Kamaruddin bahawa usaha mengekalkan OPR semasa adalah merupakan langkah yang tepat.

“Kita berdepan banyak ketidaktentuan pada masa ini dan inflasi dijangka rendah berikutan keputusan dasar terbaharu ini. Keputusan mengekalkannya pada kadar 3.25 peratus adalah tindakan tepat,” katanya.

Beliau berkata, walaupun pasaran kekal akan memberi reaksi terhadap sebarang pengumuman yang berkaitan dengan perang dagangan, keputusan kerajaan Malaysia untuk meneruskan beberapa projek mega berkemungkinan turut memulihkan selera para pelabur.

“Pengumuman dasar itu baru-baru ini dilihat sebagai positif kepada syarikat tersenarai yang mungkin menarik minat terhadap pasaran Malaysia,” katanya. — BERNAMA