Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George meminta kerajaan menjelaskan tentang pelaksanaan SST dan sejauh mana kesannya kepada rakyat.
Dr Jacob George

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta segera mendedahkan bagaimana Cukai Jualan dan Perkhidmatan akan dilaksanakan.

Malah, kerajaan juga perlu memperincikan impak pelaksaan cukai itu kepada para pengguna di negara ini.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George berkata, beliau sudah berulang kali meminta kerajaan memanggil pihak-pihak yang berkepentingan supaya bekerjasama, menyelaraskan dan membincangkan isu ini secara keseluruhannya.

Ini termasuk dari aspek perundangan, draf, merancang dan pelaksanaan SST yang komprehensif supaya cukai ini dapat dijalankan dengan sewajarnya.

“Namun, sehingga hari ini tidak ada perbincangan yang dibuat sedangkan para pengguna mempunyai keinginan mengetahui SST lebih mendalam tentang cukai yang akan menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Apa yang kami tahu SST akan menggantikan GST tetapi skop dan impaknya masih tidak diketahui.

“Saya juga tertanya-tanya adakah SST yang dilaksanakan sebelum ini sama dengan SST yang baharu?” katanya kepada MalaysiaGazette.

George berkata, rakyat Malaysia sedar kerajaan perlu melaksanakan cukai penggunaan tetapi pada masa sama kerajaan juga perlu tahu bahawa rakyat Malaysia turut dibebani dengan cukai-cukai lain yang memberi kesan kepada pendapatan mereka.

Dan, realitinya, bukan semua rakyat Malaysia khususnya golongan pertengahan membayar cukai.

“Rakyat akan akur membayar tetapi bukan cukai yang berganda-ganda dan pada masa mereka juga terpaksa menghadapi kenaikan kos barangan, perkhidmatan dan tol,” ujarnya lagi.

Lantaran itu George berkata, SST mesti mensasarkan pihak tertentu, premis berskala besar dan bukan membabitkan golongan berpendapatan rendah.

Ini penting kerana meskipun GST telah disifarkan tetapi ia tidak menurunkan kos sara hidup dan harga barangan masih belum murah.

Malah, CASSA masih mendapat aduan tentang kenaikan harga barangan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.