Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menggesa polis menyiasat segera Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy atas pelbagai isu yang membabitkan dirinya.

Gesaan itu dibuat Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan yang mendakwa, pemimpin itu terlibat dengan kumpulan pemisah Tamil Sri Lanka, Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE).

Ia, katanya, berikutan gambar P Ramasamy dikatakan terlibat dengan satu mesyuarat jawatankuasa LTTE, yang mana Majlis Kesatuan Eropah telah menyenaraikan semula kumpulan itu sebagai salah satu pertubuhan pengganas pada 21 Mac lalu.

“Gambar yang ditularkan di media sosial baru-baru ini menimbulkan banyak persoalan. Gambar beliau bersama En Vaiko (Setiausaha Parti MDMK, India) yang telah dimuat naik di laman Facebooknya bertarikh 14 Julai 2018, jam 11.41 pagi.

“Keterangan gambar itu ialah, “YB. Prof Dr. P. Ramasamy with Mr. Vaiko, General Secretary of MDMK Party, India. Mr. Vaiko is in Penang now to attend Dr. Vijaya Bharath wedding reception (Admin)”.

“En Vaiko adalah seorang ahli politik India yang telah disenaraihitam oleh pihak Imigresen. Beliau telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9 Jun tahun lalu dan perkara itu telah disahkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafar Ali,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Nasrudin, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu juga dilihat bersama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees yang menunjukkan sedang memberikan penghormatan kepada satu bingkai bergambarkan Kalashnikov (rifle AK-47) telah ditularkan di media sosial.

Gambar itu, kata beliau, dikatakan diambil dalam satu majlis anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan dua atau tiga tahun lalu.

“Kini, gambar yang ditularkan oleh individu bernama Zamri Vinoth menerusi Facebooknya telah melancarkan satu petisyen supaya beliau dipecat daripada menganggotai kerajaan dan ADUN kerana didakwa terlibat dengan LTTE.

“Isu gambar itu sengaja ditularkan berikutan kelantangannya untuk mengusir pendakwah bebas Dr Zakir Naik dari Malaysia meskipun telah dibenarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Justeru, ujar Nasrudin, siasatan menyeluruh perlu dibuat ke atas Ramasamy dan individu lain yang terlibat kerana dibimbangi boleh menggugat kestabilan politik serta keamanan di Malaysia.

“Tambahan pula beliau adalah ahli DAP dan memegang jawatan tinggi di Pulau Pinang dan statusnya boleh mempengaruhi hal-hal penting yang lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette