HFMD cases children infectious disease Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini dikesan meningkat hampir 50 peratus sepanjang tahun ini setakat semalam berbanding tempoh sama tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini nafi dakwaan ada beberapa sekolah ditutup di Kedah akibat serangan penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, maklumat yang tular baru-baru ini tidak benar.

Katanya, berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) bagi tahun 2018 bagi daerah Kuala Muda, didapati terdapat hanya satu kluster HFMD dilaporkan berlaku di SJK(C) Tai Tong Taman Kempas dan satu notifikasi kes diterima melibatkan SK Teluk Wang.

“Sekolah atau kelas yang terlibat tidak ditutup kerana mengambil kira hasil pemeriksaan oleh pasukan kesihatan yang mendapati tiada pendedahan risiko jangkitan HFMD kepada murid-murid lain.

“Keadaan pelajar-pelajar yang terlibat di dua buah sekolah berkenaan adalah stabil dan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Noor Hashim lagi, JKNK tidak menerima sebarang notifikasi kes HFMD melibatkan sekolah-sekolah lain yang ditularkan.

Sebelum ini tular beberapa sekolah di Kedah terutamanya SK Haji Nyak Gam, SK Laguna Merbok, SK Seri Pinang, SK Sg. Pasir, SJK(C) Sin Kwang, SKJ(C) Sin Min B, SK Kem Lapangan Terbang, SJK(T) Saraswaty dan SK Ibrahim dilaporkan ditutup ekoran penyebaran HFMD.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada penutupan sekolah di negeri Kedah akibat jangkitan HFMD.

Orang ramai dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu maklumat atau berita berkaitan HFMD sebelum mempercayainya, terutama maklumat tidak tepat yang dikeluarkan oleh pihak tertentu selain daripada KKM.

“Orang ramai juga diminta agar mengelak daripada menyebarkan berita yang tidak tepat tanpa mendapat pengesahan daripada pihak KKM terlebih dahulu,” ujar beliau. -MalaysiaGazette