Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof menurunkan tandatangan pada plak sambil diiringi Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr. Mohd Hatta Ramli (kiri) dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf (tengah) ketika mengadakan lawatan kerja ke MARA di Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Mara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Peranan Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak wajar dipolitikkan kerana hala tuju agensi Bumiputera itu sangat jelas.

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Mohd. Yusof bagaimanapun berkata, jika Mara tersasar daripada hala tuju, pihak kementerian perlu membetulkannya.

“Balik kepada Akta Parlimen dan tidak timbul Mara dipolitikkan. Kita kini Malaysia Baharu, semua masyarakat kena memahami agenda-agenda tertentu untuk Malaysia lebih mesra.

“Golongan bawah B40 kebanyakan adalah orang Melayu. Jadi apakah kelemahan yang terjadi atau yang tidak diperbaiki mengikut akta yang telah diwujudkan spesifik untuk pembangunan Bumiputera, kita kena (betulkan), “ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan taklimat bersama pengurusan tertinggi Mara dan agensi-agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang kini dikenali Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Dr Mohd. Hatta Ramli.

Ditanya kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R.Sivarasa ke Mara baru-baru ini yang mencetuskan polemik, Mohd. Redzuan memberitahu, kehadiran pemimpin itu sekadar lawatan dari sudut keusahawanan.

“Tidak ada timbul soal politik. Kalau Sivarasa datang pun, beliau kena memahami agenda Mara  yang telah diaktakan,” katanya. – MalaysiaGazette