KH

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang diketuai Tun Daim Zainuddin terlalu ‘berkuasa’.

Ahli Parlimen Rembau (BN) itu juga  mempersoalkan dari mana sumber kuasa CEP sehingga boleh mengarahkan seorang hakim ‘mengadap’.

“Apa punca kuasa CEP memandangkan CEP bukan hanya khidmat nasihat sahaja tetapi boleh pangil bekas ketua hakim negara mengadap dan mengarahkannya meletakkan jawatan,” ujarnya pada persidangan Dewan Undangan Rakyat hari ini.

Khairy juga mempersoalkan CEP yang menghantar pengerusinya untuk berunding dengan kerajaan China.

Selain itu, beliau mendakwa CEP ada percanggahan kepentingan apabila salah seorang ahlinya dilantik menjadi pengerusi syarikat berkaitan kerajaan.

“Jadi, soalan saya bila kerajaan hendak bubarkan CEP?” katanya.

Bagi menjawab soalan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, pelantikan badan penasihat kerajaan merupakan perkara biasa bagi sesebuah kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, semua keputusan CEP tertakluk kepada kelulusan kerajaan dan Perdana Menteri termasuk menghantar pengerusinya ke China.

Lagi pun, katanya, CEP hanya berfungsi selama 100 hari sahaja dan selepas itu ia akan dibubarkan.- MalaysiaGazette