kilang-kilang kitar semula telah bertambah secara mendadak di Kuala Langat, Pelabuhan Klang, Telok Gong, Carey Island, Jenjarom, Banting dan Kapar di Selangor.
kilang-kilang kitar semula telah bertambah secara mendadak di Kuala Langat, Pelabuhan Klang, Telok Gong, Carey Island, Jenjarom, Banting dan Kapar di Selangor. - foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kilang kitar semula yang mengumpulkan sampah plastik dari luar negara telah bertambah bagaikan cendawan selepas hujan di negara ini ekoran keputusan China untuk menghentikan penerimaan sampah dari negara lain.

China Press melaporkan, kilang-kilang kitar semula telah bertambah secara mendadak di Kuala Langat, Pelabuhan Klang, Telok Gong, Carey Island, Jenjarom, Banting dan Kapar di Selangor.

Sumber memberitahu, banyak sampah yang diproses dalam kilang-kilang kitar semula tersebut adalah berasal dari luar negara.

“Hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar mendapati kilang-kilang ini beroperasi secara haram.

“Agensi tersebut kini menyerahkan kes kepada pihak berkuasa tempatan di Kuala Langat untuk mengambil tindakan selanjutnya,” kata sumber kepada China Press.

Menurut sumber lagi, kilang-kilang kitar semula telah menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk yang tidak tahan dengan bau busuk dan abu yang dihasilkan dalam pembakaran yang dijalankan.

Penduduk yang menerima kesan kesihatan juga mengadu bahawa kilang kitar semula terletak terlalu berhampiran dengan kawasan perumahan.

Pihak berkuasa juga bimbang bahawa sisa-sisa yang dihasilkan disalurkan secara terus ke dalam sungai.

Menurut media England, jumlah sampah yang dieksport dari negara itu ke Malaysia telah bertambah tiga kali ganda dalam tempoh setahun.

Selepas Beijing menghentikan penerimaan plastik kitar semula dari negara lain, negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dilaporkan telah menjadi negara pengganti China untuk menerima bahan tersebut. – MalaysiaGazette