P. Ramasamy

BUTTERWORTH – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof Dr P. Ramasamy akan hadir ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya petang esok untuk membincangkan mengenai isu dakwaan beliau mempunyai kaitan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ramasamy berkata pertemuan pada 3.30 petang yang diatur Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa itu akan turut dihadiri Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Mediasi akan dilakukan oleh Datuk Dr Mujahid dan ini adalah perjumpaan tertutup. Perbincangan ini adalah satu usaha yang diambil oleh Datuk Dr Mujahid. Saya memang terbuka dalam hal ini dan saya hormati usaha Datuk Dr Mujahid. Ini (perbincangan) bukan satu perkara luar biasa.

“Kalau ada peluang untuk perbincangan kita boleh berjumpa dan mungkin diselesaikan…perjumpaan ini saya alu-alukan. Ini adalah satu isu penting dalam demokrasi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian cermin mata percuma kepada 500 warga emas dan pelajar sekolah oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow, di sini hari ini.

Ditanya sama ada penceramah agama terkemuka Dr Zakir Naik akan turut serta dalam pertemuan itu, beliau berkata pertemuan itu tidak melibatkan Dr Zakir.

Mengulas mengenai demonstrasi oleh beberapa kumpulan yang mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang di Komtar pada Jumaat lepas, Ramasamy berkata, itu adalah perkara biasa dalam suasana politik bebas dan beliau tidak mempunyai masalah asalkan mereka mengikut undang-undang.

Katanya, isu itu kini dalam siasatan polis dan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat.

“Polis sudah ambil kenyataan saya minggu lepas dan sebelum itu lagi. Setakat ini saya tidak terima apa-apa ugutan berhubung perkara ini. Kalau saya terima ugutan saya akan laporkan kepada polis,” katanya.

Sebelum ini, Mujahid dilaporkan sedia menawarkan diri menjadi ‘orang tengah’ dalam menyelesaikan konflik pertikaian antara Dr Zakir dan Ramasamy susulan cadangan penganjuran perdebatan secara terbuka antara penceramah agama terkemuka dan Anggota Dewan Undangan Negeri Perai itu oleh Mufti Mohd Asri bagi menentukan siapa pengganas yang sebenar.

Gambar yang memaparkan Ramasamy dan ahli politik pro-LTTE V. Gopalasamy yang dikatakan diambil dalam majlis perkahwinan baru-baru ini tular di media sosial dan menimbulkan dakwaan ahli politik DAP itu mempunyai hubungan dengan kumpulan di Sri Lanka yang dianggap sebagai pengganas oleh beberapa negara.

Susulan itu, pelbagai pihak tampil membuat lebih 50 laporan polis terhadap Ramasamy kerana dikatakan menyokong kumpulan pengganas LTTE. — BERNAMA