KUALA LUMPUR – Ketua Kontinjen Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menyifatkan kehilangan dua prospek emas susulan pengunduran diri ratu terjun Cheong Jun Hong dan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei daripada Sukan Asia Jakarta-Palembang pertengahan bulan ini bukan alasan baginya menekan ‘butang panik’ berhubung prestasi kontinjen negara.

Ini kerana katanya beliau yakin ‘kehilangan’ tersebut akan ditampung oleh atlet-atlet lain yang menunjukkan prestasi konsisten dan berpotensi menggalas cabaran untuk meraih emas pada temasya itu.

“Saya tidak fikir ketiadaan dua atau tiga orang atlet akan menyebabkan kontinjen ke Sukan Asia menjadi ‘tempang’. Kecederaan atlet ini perkara biasa, saya melihatnya dari sudut positif, lebih baik perkara itu berlaku sekarang supaya kita dapat memilih pemain gantian dan melakukan persiapan.

“Jika mereka cedera ketika kejohanan di sana, lebih menyukarkan pasukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan 18th RSC International Soccers 7’s di Kelab Royal Selangor, Bukit Kiara Annex, di sini hari ini.

Selepas Chong Wei menarik diri kerana masalah kesihatan, Malaysia kehilangan satu lagi prospek pingat emas pada Sukan Asia kali ini apabila Jun Hoong yang juga juara dunia mengalami kecederaan kronik pada lutut kirinya dan perlu berehat selama sembilan bulan.

Selain itu, kontinjen negara juga berdepan kemungkinan pemain badminton campuran, Goh Liu Ying terpaksa menarik diri kerana mengalami kecederaan ketika beraksi di pusingan suku akhir Kejohanan Dunia di Nanjing, China semalam.

Abdul Azim yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), berkata pihaknya mempunyai masa sehingga minggu depan untuk melakukan penukaran nama atlet berdasarkan senarai panjang yang diberikan oleh persatuan sukan.

Mengenai prestasi terpuji yang dipamerkan oleh pemain badminton profesional negara, Liew Daren sehingga mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Dunia di Nanjing ketika ini, Abdul Azim berkata beliau menyerahkan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menyerapkan nama pemain itu dalam skuad Sukan Asia.

“Asalkan nama pemain ada dalam senarai panjang, pihak MOM masih ada masa untuk menukarkan nama-nama pemain yang dikehendaki. Kita tunggu keputusan BAM sekiranya Kejohanan Dunia itu menjadi ukuran bagi pemilihan atlet.

“Sekiranya nama tiada dalam senarai panjang, keadaan sedikit sukar dan perlu membuat rayuan, setahu saya semua nama atlet ada dalam senarai panjang,” katanya.

Sementara itu, Abdul Azim berkata sasaran ke Sukan Asia sepatutnya dilihat berdasarkan penyertaan atlet dalam kategori A yang melibatkan lebih 100 atlet bukan keseluruhan 465 atlet.

“Saya mahu menjelaskan bahawa, atlet yang ditanggung oleh Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara (ISN) hanya kategori A iaitu melibatkan 100 lebih atlet sahaja. Selebihnya adalah daripada kategori B.

“Kategori B dibiayai sepenuhnya oleh persatuan masing-masing, bagi saya senarai dalam kategori B mempunyai potensi meraih pingat selain itu juga mereka dapat pendedahan. Sukan bukan tumpuan seperti jet ski, paragliding, ‘bridge’ dipertandingkan di Sukan Asia dan itu hak persatuan masing-masing untuk menghantar atlet mereka,” katanya.

Penyertaan kategori A menyaksikan atlet diberikan tajaan penuh manakala kos atlet kategori B perlu ditanggung pihak persatuan masing-masing. Bagaimanapun, perbelanjaan atlet kategori B akan dibayar semula sekiranya atlet berkenaan berjaya meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast