Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad

LANGKAWI – Malaysia berkemungkinan memperoleh manfaat daripada peperangan perdagangan di antara China dan Amerika Syarikat (AS) dari segi menarik pelaburan asing, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, dasar-dasar yang dilaksanakan dalam peperangan perdagangan ini akan menyebabkan pelabur-pelabur tidak dapat melabur di negara-negara tertentu, sekaligus menguntungkan negara-negara yang tidak terlibat.

“Kita (Malaysia) tak terlibat (dalam peperangan perdagangan ini) dan ada kemungkinan mereka (pelabur) yang tak dapat pergi ke negara tertentu, mereka akan datang ke sini (Malaysia),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Perang perdagangan di antara dua negara besar ini memuncak pada Rabu lepas apabila pentadbiran Amerika Syarikat meningkatkan tekanan ke atas China untuk konsesi perdagangan dengan mencadangkan tarif 25 peratus lebih tinggi terhadap import China bernilai AS$200 bilion.

Ditanya sama ada Malaysia sudah bersedia untuk menghadapi limpahan kemasukan pelaburan asing susulan peperangan perdagangan ini, Dr Mahathir berkata: “Kita bersedia sepanjang masa. (Bagi) Perdagangan asing, kita sentiasa bersedia.”
— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast