KUALA LUMPUR – Malaysia hanya menunggu isyarat dari Indonesia untuk menghantar bantuan kemanusiaan susulan kejadian gempa bumi di Pulau Lombok.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah memberitahu, beliau telah berhubung dengan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi untuk menyampaikan takziah namun sehingga kini negara itu belum meminta bantuan kemanusiaan dari Malaysia.
“Kedutaan Malaysia di Jakarta sejak dari kejadian gempa bumi pertama lagi (pada 29 Julai lalu) telah menghantar beberapa pegawai kita ke Lombok.
“Mereka masih di Lombok dan telah berkomunikasi lebih 190 orang rakyat Malaysia di sana yang semuanya selamat dan kita sedang uruskan mereka untuk pulang ke Malaysia,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
Pada 29 Julai lalu, seorang rakyat Malaysia meninggal dunia manakala enam lagi parah akibat gempa bumi bermagnitud 6.4 melanda Pulau Lombok di Indonesia.
Tragedi kedua berlaku malam tadi dengan gegaran berukuran 6.9 magnitud dan setakat ini angka kematian meningkat kepada 82 orang dan ratusan dilaporkan cedera. – MalaysiaGazette