Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersalaman dengan sebahagian pegawai polis pada Majlis Pelancaran Kursus Komunikasi Profesional Inggeris Polis Diraja Malaysia di Maktab PDRM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersalaman dengan sebahagian pegawai polis pada Majlis Pelancaran Kursus Komunikasi Profesional Inggeris Polis Diraja Malaysia di Maktab PDRM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL,

KUALA LUMPUR – Anggota dan pegawai kanan jabatan dan pengurusan tertinggi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) perlu menguasai Bahasa Inggeris dalam menjalani tugasan harian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ia adalah untuk melahirkan pegawai bertaraf global.

Katanya, sebagai permulaan program penguasaan Bahasa Inggeris akan diperkenalkan ke 14 institusi PDRM di seluruh negara.

“Inilah kali pertama PDRM memulakan kursus penguasaan Bahasa Inggeris melibatkan anggota dan pegawai tertinggi serta kakitangan awam dalam PDRM.

“Usaha berterusan akan dilaksanakan dan diselaraskan bukan sahaja dari segi berucap dalam Bahasa Inggeris tetapi juga berkemampuan menulis dalam bahasa lingua franca itu.

“Saya tidak akan memaksa mereka tetapi menggalakan serta memberi masa secukupnya untuk mereka berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

“Kursus selama lima hari yang bermula hari ini akan disertai 30 anggota dan pegawai PDRM dan ia akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan ‘Kursus Komunikasi Profesional BI’ di Maktab Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Cheras di sini.

Beliau juga pada masa sama menyatakan kesediaan polis untuk mempertimbangkan cadangan mewajibkan pelatih baharu lulus dalam subjek Bahasa Inggeris.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata, polis mempunyai guru atau tenaga pengajar yang berkelayakan tuntuk mengendalikan kursus penguasaan Bahasa Inggeris untuk anggota dan pegawai tertingginya.

“Kita memilih dua atau tiga ketua polis mengikut daerah di setiap negeri dan ini tidak termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kita tidak boleh melibatkan semua 127 ketua polis daerah yang ada dalam satu-satu masa kerana kedudukan kewangan juga perlu dipertimbangkan juga.

“Maka kita akan mengadakan secara berperingkat selepas ini untuk memastikan semua pegawai PDRM bermanfaat,” tegas beliau. – MalaysiaGazette.