BEIJING – Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin meminta Beijing untuk lebih bersimpati berhubung dengan isu fiskal semasa Malaysia.
Perdana menteri Malaysia itu berharap China akan memahami situasi itu dan dapat membantu dalam menyelesaikannya.
“Kami berharap China memahami masalah kami dan akan bersimpati berhubung dengan masalah fiskal dalaman kami,” katanya pada sidang media bersama dengan rakan sejawatnya Perdana Menteri China Li Keqiang selepas mesyuarat dua hala mereka di sini.
Dr Mahathir dalam rangka lawatan rasmi lima hari di China.
“Bantu kami menyelesaikan sesetengah daripada masalah fiskal kami,” kata Dr Mahathir.
Kerajaan baharu Malaysia di bawah Pakatan Harapan, pimpinan Dr Mahathir, berdepan hutang kira-kira RM1 trilion didakwa akibat salah pengurusan kewangan negara oleh kerajaan terdahulu.
Dr Mahathir berkata, hubungan dua hala Malaysia-China perlu diperkukuhkan lagi.
Beliau berkata, inovasi dan kemajuan teknologi China dapat menyumbang kepada pembangunan Malaysia.
Li, sementara itu berkata, wujud keperluan untuk dipertingkatkan lagi hubungan dua hala yang baik ke tahap baharu menerusi jalinan kerjasama dalam pelbagai bidang dan dimensi baharu.
Perdana menteri China itu berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua negara demi manfaat rakyat mereka.
Mereka juga menyasarkan untuk meningkatkan perdagangan dua hala dengan harapan untuk memperbaiki imbangan perdagangan antara mereka.
“China bersedia untuk meningkatkan import barangan kompetitif daripada Malaysia terutamanya minyak sawit dan produk pertanian yang lain,” katanya.
Menjawab soalan tentang perang perdagangan ketika ini antara Amerika Syarikat dan China, Dr Mahathir menegaskan perdagangan bebas sepatutnya menjadi pilihan semua negara.
Bagaimanapun, katanya perdagangan bebas semata-mata tidak memadai kerana ia perlu diriingi dengan perdagangan adil yang juga akan bermanfaat kepada negara kecil dan miskin. – MalaysiaGazette