Foto Facebook Rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia.

BEKASI, INDONESIA – Misi skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara dalam kempen Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang tamat selepas tewas tipis 0-1 kepada Jepun pada saingan 16 terakhir malam tadi.

Lebih memilukan, gol Jepun diperolehi merusi sepakan penalti pada minit ke-88 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Patriot Chandrabhaga di sini.

Ayase Ueda tenang menyempurnakan sepakan penalti itu selepas  pemain pertahanan negara , Dominic Tan menjatuhkan pemain itu.

Penjaga gol negara, Muhammad Haziq Nadzli gagal mencipta kejutan sekali gus meranapkan impian Malaysia melakar sejarah mara ke peringkat suku akhir.

Dalam pada itu, skuad kendalian Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee itu harus diberikan pujian walaupun turun sebagai bukan pasukan pilihan.

Skuad muda Harima Malaya itu kental bertahan  daripada dibolosi selain berjaya mencipta beberapa gerakan berbahaya menerusi serangan kilat di sebalik  serangan bertali arus yang dilancarkan skuad “Samurai Biru’ itu.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pasukan negara apabila dua percubaan penyerang, Muhammad Safawi Rasid menerusi sepakan percumanya pada minit ke-81 dan rembatan kaki kanannya pada minit ke-83 hanya menggegarkan palang dan tiang gol lawan.

Terdahulu, Malaysia berpeluang mendahului seawal minit ke-14 selepas Muhammad Akhyar Abdul Rashid gagal menyambar bola yang gagal ditampan kemas penjaga gol, Ryosuke Kojima selepas kapten, Baddrol Bakhtiar melakukan percubaan pertama Malaysia ke arah pintu gol Jepun. – MalaysiaGazette