Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bercakap pada forum ' A New Malaysia : The Way Ahead ' di Universiti Sunway, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 29 OGOS 2018.

SUBANG JAYA – Ada pihak yang akan menjadikan semangat perkauman lebih ekstrem demi keuntungan politik,  kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil. 

Katanya, terkini juga telah mula terlihat meningkat semangat perkauman yang sengaja diwujudkan dan disuarakan dengan lantang. 

“Kalau kita tengok sekarang ini ada beberapa elemen-elemen yang mula menampakkan semangat perkauman yang lebih vokal dan menjurus ke arah ekstremisme dan ini satu perkara yang tidak sihat memandangkan Malaysia sebuah negara yang penduduknya harmoni dan menolak semangat perkauman yang terlalu sempit.

“Jadi saya melihat mula ada bibit-bibit yang mungkin akan mula dipakai oleh beberapa pihak untuk mengambil kesempatan hanya untuk masa depan politik mereka,” katanya kepada pemberita selepas menjadi salah seorang panel dalam forum A New Malaysia: The New Ahead di Universiti Sunway petang tadi.

Menolak sekeras-kerasnyanya sentimen perkauman, beliau mengingatkan agar bukan sahaja parti pembangkang malah dalam kalangan Pakatan Harapan juga untuk tidak menggunakan taktik tersebut .

“Saya menggesa semua parti politik menolan politik perkauman yang ekstremis yang mengajak kepada kebencian menanam perasaan takut bukan sahaja satu kaum tapi kaum-kaum yang lain ini tidak sibat untuk negeri kita,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette