Peniaga mengekalkan harga jualan buat sementara waktu kerana masih menyimpan stok lama selain berasa keliru dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan mulai 1 September. - Foto hiasan
Peniaga mengekalkan harga jualan buat sementara waktu kerana masih menyimpan stok lama selain berasa keliru dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan mulai 1 September. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR –  Peniaga mengekalkan harga jualan buat sementara waktu kerana masih menyimpan stok lama selain berasa keliru dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan mulai 1 September.

China Press melaporkan, beberapa pasar raya utama dan kedai serbaneka terkenal telah menyatakan untuk mengekalkan harga jualan lama sepanjang September sehingga stok lama dihabiskan.

Selain itu, produk kosmetik berjenama masih boleh dibeli tanpa dikenakan cukai disebabkan cuti panjang di Malaysia, tetapi keadaan “cuti cukai” itu dijangka tamat mulai Isnin apabila operasi pejabat dan perniagaan dipulihkan sepenuhnya selepas cuti hari kebangsaan.

Kebimbangan kemungkinan kenaikan harga pada 1 September selari dengan implementasi SST mendorong orang ramai melakukan aktiviti membeli-belah pada hujung Ogos dengan harapan mengelakkan harga yang lebih tinggi.

Menurut Nanyang Siang Pau, kebanyakan produk keperluan harian di pasaran bagaimanapun tidak mengalami kenaikan harga pada hari pertama pelaksanaan SST.

Dengan membandingkan harga 16 produk pada hari pertama pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan hari pertama SST 2.0, akhbar itu mendapati 15 produk dijual pada harga sama.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Michael Kang berkata, masih terdapat peniaga yang keliru dengan pelaksanaan SST dan mereka memilih untuk mengekalkan harga lama buat sementara waktu.

“Ramai peruncit masih menunggu senarai harga baharu daripada pengilang, mereka justeru mengekalkan harga lama buat masa ini,” katanya kepada Sinchew Daily.

Tambahnya, pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan turut turun padang untuk memahami keadaan di kilang selepas pelaksanaan SST.

“Saya berharap kerajaan akan mengambil pendekatan mesra perniagaan dengan memberi tunjuk ajar dan nasihat berhubung kesilapan peniaga,” katanya. – MalaysiaGazette