KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memberi bayangan, satu kerusi Parlimen bakal dikosongkan untuk diberi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Langkah itu katanya. sebagai persediaan untuk mengangkat Anwar menjadi perdana menteri kelapan.
Rafizi yang juga calon Timbalan Presiden PKR ketika berucap dalam Ceramah Reformasi 2.0 yang diadakan di Tunjong, Kota Bharu malam tadi memberitahu, ia merupakan langkah kedua selepas yang pertama menjadikan Anwar sebagai Presiden PKR.
“Saya nak beritahu, minggu depan akan ada satu kerusi parlimen dikosongkan untuk Anwar bertanding.
“Minggu depan Insya-ALLAH satu kerusi dikosongkan dan insya-ALLAH Anwar Ibrahim akan kembali ke Parlimen,” katanya lapor BH Online.
Sehingga kini, hanya tiga kerusi sahaja iaitu Sungai Petani, Selayang dan Sungai Siput yang bersedia menawarkan diri memberi laluan bagi pengosongan kerusi parlimen tersebut.
Dalam perkembangan sama, Rafizi berkata, pihaknya mempunyai dua kepentingan yang perlu diutamakan dalam agenda PKR iaitu menjadikan Anwar sebagai presiden parti dan ahli parlimen serta perdana menteri kelapan.
“Kami duduk berbincang dengan Anwar, datuk seri jangan ambil mudah. Ingat orang luar dan dalam akan bagi ruang. Tidak cukup jadi ketua umum,” ujarnya. – MalaysiaGazette