Daim Zainuddin
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum lagi membubarkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

Sebaliknya, ia masih wujud dan semua ahlinya melakukan tugas lama meskipun tidak ada sebarang mesyuarat diadakan, kata Pengerusinya, Tun Daim Zainuddin.

“Perdana menteri kata (CEP masih) ada. Semua sudah balik buat kerja masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perjumpaan dengan penduduk di kawasan Parlimen Titiwangsa di Kelab Sultan Sulaiman, di sini hari ini.

Bulan lalu, Daim mengumumkan CEP diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas tugas-tugas yang dilakukan mereka selesai.

Langkah itu diambil selepas pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) genap tempoh 100 hari.

Bagaimanapun, Dr Mahathir mengumumkan bahawa majlis itu tidak akan dibubarkan kerana khidmat anggotanya masih lagi diperlukan termasuk Daim.

Pengumuman itu bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri pada 12 Mei lalu apabila beliau menyatakan CEP akan dibubarkan selepas 100 hari pentadbiran PH.

CEP ditubuhkan 12 Mei lalu selepas dua hari PH berjaya menubuhkan kerajaan selepas mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU14) 9 Mei lalu.

Selain Daim, CEP turut dianggotai bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Pgawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican, taikun Tan Sri Robert Kuok dan pakar ekonomi, Dr KS Jomo. – MalaysiaGazette