Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim
KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dapat menyelesaikan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam masa setahun.
PDRM, ujarnya, telah mendapatkan kerjasama daripada beberapa negara bagi mendapatkan maklumat dan dokumen mengenai transaksi yang dibuat ke atas syarikat itu di luar negara.
“Bukan kita tambah masa siasatan, kita ada jangka masa setahun di bawah undang-undang dan semua itu akan berakhir Mei depan, kita buat yang terbaik untuk selesaikan siasatan ini dalam masa yang perlu, kita tunggu kerjasama undang-undang daripada negara luar.
“Kita kena selesaikan siasatan dan keputusan akan dibuat selepas itu kita terbuka dengan tindakan undang-undang. Jangan risau kita akan selesaikan dalam masa setahun,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan isu siasatan 1MDB di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai gesaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa pihak berkuasa harus menyerahkan semula semua barangan yang disita dari beberapa rumah yang dikaitkan dengan beliau.
Katanya, berdasarkan undang-undang, aset itu perlu dipulangkan selepas tiada pendakwaan dibuat dalam tempoh tiga bulan.
Menjawab perkara itu, Noor Rashid berkata, di bawah peruntukan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) memperuntukkan bahawa pihak berkuasa mempunyai tempoh masa sehinga setahun untuk membuat siasatan.
“Penyitaan ke atas barangan itu adalah berdasarkan wujudnya alasan yang munasabah dan disyaki bahawa barangan ini adalah hasil daripada perolehan wang haram untuk kes 1MDB,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast