KUALA LUMPUR – Proses pengundian memilih barisan kepimpinan PKR bagi penggal baharu hari ini dicemari dengan insiden pukul memukul melibatkan perwakilan dengan petugas Pemilihan Keadilan 2018.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi itu tercetus berikutan perwakilan dikatakan tidak berpuas hati dengan proses pengundian yang dikatakan gagal diakses menyebabkan mereka terpaksa menunggu lama dan beratur panjang.
Insiden memalukan itu berlaku di Cabang PKR Sungai Petani, Kedah bagi memilih jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Berikutan itu juga, pihak Jawatankuasa Pemilih Pusat (JPP) menangguhkan pemilihan bagi cabang Sungai Petani sehingga pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian nanti.
Perwakilan atau pengundi dikatakan hilang sabar selepas menunggu lebih dua jam dari 8.30 pagi untuk mengundi, tetapi sehingga jam 11 pagi pun mereka belum dapat menunaikan tanggungjawab itu. – MalaysiaGazette