Mohamad Hasan
Mohamad Hasan.

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO diingatkan agar tidak membuang masa melayan perangai pihak luar yang cuba memperkecilkan parti selepas gagal mempertahankan kuasa pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Sebaliknya, ahli-ahli perlu terus menaburkan jasa dan bakti agar UMNO dipandang elok dan meninggalkan rasa insaf kepada pihak luar itu.

Katanya, tidak guna untuk ahli UMNO berdebat dalam sesuatu isu dengan orang yang sedang bermegah dan memegang kuasa ketika ini.

“Kita simpan elok-elok apa yang mereka tak buat, lepas tu esok kita keluarkan satu persatu.

“Esok orang dah mula muak, orang dah marah kita pula hentam mereka cukup cukup.

“Sekarang masa kita kalah bila bercakap orang akan kata, bila dah kalah memang macam tulah.

“Tapi, esok harga barang akan terus merosot dan ekonomi yang saya tak nampak akan ada pertumbuhan baik pada suku ketiga dan keempat. Dan bila dah hilang kerja dan menganggur, masa itu nanti kita katalah bahawa tuan-tuan dah salah pilih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2018, di PWTC di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad menggesa agar ahli UMNO menjadi rumpun yang diibaratkan sebagai pohon rendang untuk dijadikan sebagai tempat berteduh kepada orang ramai.

Mohamd berkata, tidak perlu menjadi seperti pokok kelapa yang jika hendak diambil buahnya menggunakan beruk, sedangkan menjadi pohon yang rendang buahnya boleh dipetik walaupun dibaling dengan kayu tapi yang diambil hanya yang manis-manis sahaja.

Tambah beliau, mereka perlu mendekati semua golongan di kawasan masing-masing agar masyarakat berasa senang dan terbuka untuk menerima UMNO semula.

Beliau turut menggesa agar akar umbi parti diperkasakan kerana kekuatan parti adalah diperingkat tersebut.

“Kekuatan pokok bukannya dibatangnya atau di daun. Tapi kekuatan pokok adalah di akarnya. Jadi perkuatkan akar umbi,” jelas beliau. – MalaysiaGazette