Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi kebenaran untuk penganjuran pesta arak “Oktoberfest” sangat bersalahan dengan prinsip Islam dan siyasah syariyyah bagi sebuah negara majoriti muslim.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, berpesta minum arak adalah syiar kemungkaran yang wajib dibanteras oleh kerajaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara.

Ujar beliau, berpesta sangat berbeza dengan minum secara individu, yang mana ia menjadi syiar kemungkaran yang merosakkan dan memudaratkan masyarakat.

“Sekiranya alasan permohonan telah dibuat, dan diadakan di premis persendirian dan tempat tertutup serta tidak melibatkan orang Islam dijadikan sandaran bagi memberikan kebenaran, tidak mustahil penganjuran parti seks juga bakal menjadi acara tahunan yang baharu di negara ini.

“Sepatutnya, ia ditangani dengan mengambil kira kedudukan Islam dan sensitiviti orang Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini serta kepentingan awam terutama melibatkan aspek ketenteraman dan keselamatan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pesta arak “Oktoberfest 2018” di Mid Valley, diteruskan kerana tidak melanggar undang-undang.

Ini kerana kata beliau, pesta itu diadakan secara tertutup, namun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memantau perjalanan pesta itu agar tidak berlaku pelanggaran undang-undang.

Menurut Dr Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, bahaya arak bukan sahaja menghilangkan kewarasan kepada peminumnya, lebih daripada itu ia boleh mengakibatkan nyawa terkorban.

Jelasnya, jika prinsip menghormati penganut agama lain untuk melakukan apa yang tidak dilarang oleh agama mereka dijadikan alasan, ia bercanggah dengan kitab suci atau rujukan agama Hindu, Buddha, Kristian, Sikhisme dan Yahudi.

“Agama itu menyatakan secara jelas dan banyak mengenai larangan atau pengharaman arak. Namun, bantahan saya berfokus pada perbezaan antara minum secara individu dengan berpesta arak yang menjadi syiar kemungkaran dalam sebuah negara majoriti muslim,” katanya.

Mengenai pesta arak itu, katanya, Pas konsisten membantah penganjurannya sejak dahulu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast