Ahmad Bilal Rahudin
Ahmad Bilal Rahudin

KUALA LUMPUR – Jualan masakan daging babi secara terbuka pada Pesta Tastefully Melaka dalam dewan tertutup Melaka International Trade Centre (MITC) semalam, dilihat seolah bermotif dan disengajakan.

Menurut Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Melaka, Ahmad Bilal Rahudin, ia seperti mahu mengusik dan mempersenda sensitiviti yang boleh menimbulkan ketidakharmonian akibat rasa kurang senang berkaitan kaum dan agama.

Katanya, permohonan maaf dengan alasan terlepas pandang terlalu dangkal dan sukar diterima, seakan ekspo tersebut tiada pendaftaran, pemerhatian, penyeliaan dan penguatkuasaan selama empat hari ia berlangsung.

“Adakah alasan diberikan itu satu pengakuan bahawa ianya kecuaian penganjur atau makluman berlakunya pelanggaran peraturan oleh peserta ekspo?

“Kejadian seumpama itu tidak pernah timbul selama ini, tetapi mutakhir ini sejak ditadbir kerajaan Pakatan Harapan (PH), hubungan antara masyarakat pelbagai bangsa sudah mula dirosakkan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Berikutan kejadian itu, MITC mengambil tindakan drastik mengarahkan tujuh gerai jualan makanan yang didapati menjual makanan tidak halal ketika Ekspo Tastefully Food and Baverage ditutup.

Arahan itu dikeluarkan setelah gerai berkenaan didapati menjual daging babi berkonsepkan makanan jalanan dan tular di media sosial sehingga mendapat perkongsian lebih 500 pengguna Facebook.

Ketua Pegawai Eksekutif MITC, Abdul Wahab Ibrahim berkata, tindakan yang dilakukan bukan sahaja menutup gerai terbabit, malah ia juga akan disertu mengikut peraturan dilakukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sebaik sahaja eskpo tersebut tamat malam ini.

Menurut Ahmad Bilal, teraju politik bagaikan kuasa untuk satu-satu pihak menunjukkan keangkuhan, lalu bersikap biadab dengan menjurangkan lagi perbezaan sedia ada, sekali gus menggugat ketenteraman awam.

Katanya, kejadian itu bukan kali pertama, ia pernah berlaku pada Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro Malaysia di Sekolah Pay Fong, Julai lalu apabila peserta mengadu ada hidangan daging babi.

Begitu juga, kata beliau, patung besar Jesus The Redeemer Statue sebagai binaan terbuka di Perkampungan Portugis yang dilihat tidak bertujuan amalan keagamaan, tetapi lebih sebagai simbol.

“Malah, sebelum itu, berlaku ketidakpedulian dan keengganan banyak pengusaha hotel di Melaka untuk mengambil dan mematuhi prosedur Sijil Halal JAKIM yang dilihat bagai mencabar kewibawaan pihak berkaitan.

“Itu tidak termasuk pernah ada cubaaan untuk menganjurkan pesta arak mega dan himpunan Evangelis Kristian terbesar di negeri ini sikit masa dahulu.

“Sungguhpun keterbukaan terhadap hak anutan dan melaksanakan amalan agama serta budaya kaum perlu diberi, namun ia tidak wajar sama sekali menjejaskan pihak lain pula,” katanya.

Ahmad Bilal berkata, hubungan berpaksi saling hormat, tolak ansur dan memahami wajib terus dipelihara dan disuburkan agar tidak ada yang terasing atau didiskriminasi, apatah lagi dicabuli kesejahteraan hidupnya.

“Kami menuntut siasatan terhadap kes ini, seterusnya tindakan tegas sewajarnya ke atas pihak berkaitan, serta langkah-langkah agar ia tidak berulang lagi.

“Kami juga menasihatkan semua pihak supaya lebih peka dan sensitif terhadap soal agama dan kaum, selain tidak cuba berkelakuan sewenang-wenangnya hingga mencalar dan merenggangkan hubungan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast