Iskandar Ismail

KUALA LUMPUR – Iskandar Ismail dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berkuat kuasa pada 15 Oktober lalu.

Iskandar sebelum ini memegang jawatan Pengarah Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan MyCC dari Februari 2013 dan memangku tugas Ketua Pegawai Eksekutif selama enam bulan sejak persaraan Datuk Abu Samah Shabudin pada 16 April 2018.

Iskandar berkelulusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan juga memegang Sarjana dalam Undang-undang Perbandingan dan Antarabangsa dari George Washington University Law School, Washington DC.

Beliau dipanggil sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya pada bulan Ogos
1998 dan kemudiannya berkhidmat di Bank Negara Malaysia sebagai Pegawai Pendakwa.

Iskandar adalah sebahagian daripada pasukan pendakwaan perintis di Jabatan Undang-undang Bank Negara Malaysia sehingga tahun 2005.

Sebelum menyertai Suruhanjaya sebagai Pengarah, beliau adalah salah seorang Pendakwaraya untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk Rwanda di Tanzania selama 8 tahun, mendakwa kes pembunuhan beramai-ramai dalam menghapuskan kaum dan pelanggaran undang-undang hak asasi antarabangsa.

Beliau kini disenaraikan dalam senarai pakar Justice Rapid Response yang menyediakan khidmat profesional kepada entiti dan mempunyai kuasa atau mandat untuk menyiasat, mencari fakta atau menjalankan pertanyaan di mana punca kekejaman massa berlaku.

Sebagai Pengarah Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan, Iskandar telah memimpin dan menyelia penyiasatan kes-kes utama MyCC seperti Malaysian Airline System Berhad dan AirAsia Berhad, Pengendali-pengendali Depoh Kontena di Pulau Pinang, MyEG Services Bhd, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan 22 ahlinya, Dagang Net Technologies Sdn Bhd dan beberapa perusahaan yang lain. – MalaysiaGazette