KUALA LUMPUR – UMNO tidak faham dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas mengambil alih kerajaan Persekutuan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, selepas menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu, kerajaan PH yang dibarisi parti komponen seperti PPBM, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) lebih suka melakukan provokasi berhubung perkara asas negara.
“Saya tidak faham (dengan kerajaan PH) bukannya mereka hendak memfokuskan masa dan tenaga untuk memikirkan inovasi baharu bagi menambahbaik kedudukan masyarakat.
“Sebaliknya, kelihatan semua pemimpinnya lebih suka melakukan provokasi berhubung perkara asas negara kita.
“Ketuanan Melayu misalnya, ini bukan perkara baharu,” katanya dipetik kenyataan yang dimuatnaik dalam akaun facebooknya semalam.
Menurut Mohamad, apa yang mereka ungkit dan bangkitkan bukan perkara kecil dan remeh, ia berkaitan asas negara dan tunjang Perlembagaan Persekutuan yang menjadi rujukan dalam membentuk kontrak sosial.
Jelas beliau, PPBM lantang menyatakan UMNO telah gagal menjaga orang Melayu dan pada masa sama mereka sepatutnya tampil menjadi pembela orang Melayu dan pribumi selari dengan nama dan slogan perjuangan parti itu.
“Melainkan istilah pribumi yang tertera pada PPBM itu tidak lebih sekadar sogokan atau nama yang tidak ada apa-apa erti.
“Kalau Melayu dan pribumi lemah, (PH kena) bantu. Kalau ekonomi serta pendidikan Melayu dan Bumiputera lemah, (kena) bantu, bukan menyerang dan membuang konsep Ketuanan Melayu yang selama ini tidak ada masalah pun.
“Melainkan PPBM sendiri sebenarnya tidak faham apa itu Ketuanan Melayu dan perjuangan membela pribumi yang menjadi struktur asas Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau.
Beliau menempeka kerajaan PH dan PPBM, jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar dan jangan marahkan pemimpin Melayu, Ketuanan Bangsanya yang dicabar. – MalaysiaGazette