KUALA LUMPUR – Pengumuman Belanjawan 2019 diyakini akan memberi peluang besar kepada pendapatan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dapat ditingkatkan termasuk menerusi Program Usahawan Agro Muda.
Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, pihaknya telah mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta yang akan digunakan bagi menggalakan lebih banyak program untuk golongan B40 serta belia.
“Kita dapat bajet lebihan sebanyak RM5 juta kali ini, pelbagai program berteraskan pertanian bagi menarik golongan muda serta B40 akan kami rancangkan. Lebih banyak belia akan diberikan keutamaan ke sektor-sektor penting yang ada di kementerian ini.
“Ini juga termasuk sektor agromakanan. Malah peruntukan sebanyak RM47 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga amat penting dalam membangunkan semua sektor,” katanya selepas pembentangan Belanjawan 2019 hari ini.
Tambah Salahudin, pihaknya juga telah menerima peruntukan tambahan RM18 juta bagi sektor automasi industri agro makanan.
“Kita juga terima dana tambahan sebanyak RM52 juta untuk program-program keusahawanan dan latihan industri dan dengan peruntukan hampir RM4.4 bilion, kita akan fokus terhadap belia juga,” ujarnya. –MalaysiaGazette