Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa (kanan) di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 NOVEMBER 2018.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa (kanan) di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini sebulat suara menolak cadangan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Bulanan MT UMNO di Bangunan Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumour yang dipengerusikan beliau.

“Isu utama kita telah bincang secara terperinci hari ini ialah mengenai ratifikasi ICERD dan kita bersama parti politik dalam gagasan pembangkang komited untuk menolak ratifikasi itu bersama pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Hasil dari mesyuarat MT hari ini juga, kita telah membuat ketetapan iaitu MT menolak sepenuhnya ratifikasi ini dan UMNO meminta kerajaan PH menghentikan segala langkah yang menjejaskan pembinaan masyaratkat yang diwujudkan sekian lama oleh UMNO dan BN kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia,” katanya pada sidang media petang ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan; dua Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Menurut Ahmad Zahid, bagi mendesak kerajaan supaya akur dengan tuntutan itu, UMNO telah mengambil alih semua program utama menentang ratifikasi itu dengan memulakannya di Perak.

Kata beliau, UMNO Bahagian Pasir Salak akan menjadi tuan rumah untuk program penerangan penolakan ratifikasi ICERD pada 17 November ini.

Pada masa sama, jelas beliau, Pergerakan Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas Malaysia akan bergerak ke setiap negeri untuk mengajak anak muda sama-sama menolak cadangan itu. – MalaysiaGazette