KUALA LUMPUR – Penyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat laporan rasmi mengadu kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) atas tingkah laku penyokong Rafizi Ramli yang dikatakan menggunakan pembesar suara ketika proses pemilihan parti Cabang Kota Samarahan, Sarawak hari ini.

Perkara itu didedahkan Datuk Mansor Othman yang merupakan calon bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Menurutnya, laporan itu adalah untuk perhatian dan tindakan JPP kerana perbuatan menggunakan pembesar suara adalah menyalahi peraturan parti ketika proses pemilihan diadakan.

Beliau berkata, akibat penggunaan pembesar suara, berlaku sedikit kekecohan  antara kedua penyokong, yang mana kumpulan Rafizi dikatakan cuba melakukan provokasi ke atas kumpulan Mohamed Azmin.

Katanya, setahu beliau sepanjang memantau perkembangan pemilihan PKR di negeri lain, tidak ada seorang pun menggunakan alat itu.

“Cuma, ianya berlaku di Sarawak (Cabang Kota Samarahan). Tetapi, apa yang saya hendak nyatakan, pemilihan di sini berjalan dengan lancar dan baik sekali,” katanya. – MalaysiaGazette