Tun Dr Mahathir Mohamad

AKHIR-akhir ini kita dengar dan lihat sendiri bermacam-macam cerita tersebar mengenai Parti UMNO dan Tun Mahathir.

Cerita ini kian rancak apabila seorang demi seorang Ahli Parlimen UMNO lompat parti ke PPBM walaupun mereka sedar tindakan ini sebagai satu tindakan yang tidak berprinsip.

Bagaimanapun, ada juga ura-ura yang mengatakan mereka yang melompat parti ini kerana diugut dan disogok. Apa-apa pun sejauh mana kebenaran cerita ini sama ada betul atau tidak hanya mereka sahaja yang tahu.

Saya tidak mahu komen apa-apa mengenai perkara tersebut.

Tetapi yang menarik minat saya apabila baru-baru ini Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri mendedahkan bahawa Tun Mahathir meminta DS Ahmad Zahidi Hamidi membubarkan UMNO. Kemudiannya, Tun Mahathir juga sempat membuat permintaan supaya semua Ahli UMNO sertai PPBM.

Ini bukanlah cerita dongeng atau rekaan saya sendiri kerana beberapa hari lalu Tun Dr Mahathir akhirnya mengakui sendiri bahawa memang benar beliau menyuruh DS Ahmad Zahid Hamidi untuk membubarkan parti UMNO. Kononnya, parti UMNO tidak lagi mewakili perjuangan dan prinsip asalnya.

Walaupun kalah dalam Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu namun UMNO masih lagi parti yang banyak mendapat kerusi dan masih menjadi pilihan orang Melayu.

Namun begitu, apa yang boleh saya lihat di sini, Tun Mahathir seolah-olah cuba untuk menyelamatkan kedudukan dirinya dan juga partinya iaitu PPBM dalam Pakatan Harapan.

Seperti kita sedia maklum bahawa PPBM ini adalah sebuah parti yang minoriti di dalam Pakatan Harapan dan bila-bila masa sahaja parti ini boleh ditendang keluar dari Pakatan Harapan.

Jadi adakah ini punca utama Tun Mahathir mengajak ahli dan pemimpin UMNO beramai-ramai masuk ke PPBM supaya parti mereka mampu menjadi parti yang dominan dalam Pakatan Harapan sekali gus kekal berkuasa?

Jika kita lihat situasi sekarang, parti yang paling terkecil iaitu PPBM dalam Pakatan Harapan memimpin kerajaan pada hari ini. Benar, mungkin sekarang dengan adanya beberapa kerusi PPBM masih di atas itupun kerana Tun Mahathir masih menjadi Perdana
Menteri.

Bayangkan suatu hari nanti Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri tidak mustahil senario politik Pakatan Harapan akan berubah seratus peratus menjadikan parti PKR pula yang paling berkuasa antara parti komponen Pakatan Harapan.

Dan ketika itu apa akan jadi dengan nasib Tun Mahathir dan PPBM?

Jadi satu-satunya cara atau jalan untuk Tun Mahathir memperkukuhkan lagi parti PPBM bagi menentang PKR yang mempunyai kerusi terbanyak dalam Pakatan Harapan adalah
dengan mengajak semua ahli dan pemimpin UMNO sertai PPBM.

Kerana Tun Mahathir percaya dan yakin pemimpin dari UMNO sahaja yang mampu menyelamatkan kedudukan PPBM dalam Pakatan Harapan.

Malah kerana tindakan terdesak inilah menyebabkan Tun Mahathir sanggup menyuruh DS Ahmad Zahid Hamidi untuk membubarkan UMNO.

Jelas inilah strategi yang digunakan Tun Mahathir untuk menguatkan lagi kedudukan PPBM dalam Parlimen apabila DS Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelak.

Dhia Hani
Persatuan Pemikir Muda Johor