KUALA LUMPUR – Biro Politik PKR memutuskan untuk menerima keputusan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bagi Cabang Julau di Sarawak, Pensiangan dan Tawau di Sabah.
Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, dengan keputusan itu Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wanita dan pusat yang ditetapkan pada 16 hingga 18 November ini akan diteruskan.
Pada masa sama kata beliau, parti akan memberi kerjasama penuh kepada mana-mana agensi penguatkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah melakukan siasatan berkaitan pemilihan parti.
“Biro Politik PKR juga telah mengarahkan JPP untuk segera menyelesaikan isu undi ragu bagi Cabang-Cabang yang berkaitan dengan memanggil wakil kedua-dua calon Timbalan Presiden untuk memerhati proses tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Berhubung isu ‘undi hilang’ yang dibangkitkan seorang calon AMK, Akmal Nasir serta rakan dalam satu sidang media petang semalam, Fahmi memberitahu, Biro Politik PKR mengarah syarikat Baker Tilly yang mengesahkan integriti sistem pemilihan untuk menyiasat dan memberikan maklum balas pada kadar segera.
Parti itu juga, ujar beliau, akan mengumumkan pelantikan sebuah syarikat pengauditan dalam masa terdekat untuk melakukan audit bebas terhadap keseluruhan proses pemilihan. – MalaysiaGazette
















