Mohd Fikri
Wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Mohd Fikri Khalid berbahas pada Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2018 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 16 NOVEMBER 2018

SHAH ALAM – Seorang perwakilan Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendedahkan antara faktor utama kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu adalah kerana janji hendak menyediakan satu juta peluang pekerjaan jika PH memerintah.

Perwakilan dari Wilayah Persekutuan, Mohd Fikri Khalid berkata, berdasarkan kaji selidik Merdeka Centre ke atas 3,000 responden, 68 peratus anak muda tertarik dengan janji itu.

Katanya, golongan itu merasakan dengan memilih PH sebagai kerajaan, hidup mereka akan menjadi bertambah baik dan mendapat pekerjaan untuk menyara hidup diri sendiri serta keluarga.

“Kita tidak tahu sejauhmana kerajaan PH akan menunaikan janji ini, tetapi majoriti anak muda tertarik dan menaruh harapan tinggi dengan janji itu.

“Sebagai anak muda, kita mengharapkan PH tidak memandang remeh dengan janji ini dan perlu menunaikannya untuk keadilan rakyat.

“Jika kita gagal berbuat demikian, saya bimbang anak muda yang sokong kita pada PRU lalu akan berpaling tadah dan memberi kemenangan semula kepada parti lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berbahas menyokong Ucapan Dasar Ketua AMK di Kongres Keadilan Wanita dan AMK di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) di sini, hari ini.

Mohd Fikri mengingatkan kepemimpinan kerajaan PH bahawa anak muda tidak minat dengan politik dan mereka muak berpolitik.

“Oleh itu, kerajaan PH kena cari jalan dengan menyediakan sebanyak mungkin inisiatif kepada pelabur asing agar mereka dapat menyediakan peluang pekerjaan yang baik kepada anak-anak muda dengan gaji berpatutan,” katanya. – MalaysiaGazette