Perwakilan Terengganu, Syed Mohd Al Amin Syahrul berucap ketika menyampaikan perbahasan pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-13 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 17 NOVEMBER 2018.

SHAH ALAM – Sesi perbahasan hari ini agak panas apabila ada perwakilan menegur pemimpin PKR berjawatan menteri dan timbalan mereka hanya turun ke negeri itu untuk berkempen bagi jawatan yang dipertandingkan, bukan hendak membantu rakyat.

Wakil PKR Terengganu, Tuan Syed Mohd Al Amin Tuan Shahrul berkata, kepimpinan negeri itu kecewa dengan sikap pemimpin berkenaan datang menayangkan kemewahan seperti menaiki pesawat dan kereta tidak mampu milik oleh rakyat semata-mata untuk berkempen.

Mereka ini, katanya, jauh berbeza dengan menteri dan timbalan menteri dari parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain datang berjumpa, makan bersama dan bertanyakan kesusahan rakyat.

“Kita jauh ketinggalan dari segi hendak membantu rakyat susah. Kita hanya lebih pentingkan diri sendiri. Sanggup berbelanja besar hanya kerana mahu mendapatkan undi bagi jawatan yang dipertandingkan,” tegasnya ketika mengambil bahagian berbahas usul menyokong Ucapan Dasar Presiden PKR pada Kongres Keadilan Ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) di sini hari ini.

Walaupun Tuan Syed Al Amin tidak menyebut nama menteri dan timbalan menteri berkenaan, tetapi ia jelas tertumpu kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh; dan Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Dalam perbahasan yang diperuntukan selama 10 minit itu, Tuan Syed Mohd Al Amin sempat membidas kepimpinan parti di peringkat pusat yang menganaktirikan kepimpinan PKR Terengganu, terutama dalam pemilihan senator.

Katanya, tidak ada seorang pun dalam kalangan pemimpin PKR negeri itu dilantik sebagai Ahli Dewan Negara apatah lagi hendak menghulurkan bantuan kepada rakyat di negeri itu.

Beliau menyindir kepimpinan pusat dengan meminjam dialog dua rakan perompak dalam filem Nujum Pak Belalang iaitu Nasib dan Badan ketika membahagi-bahagikan hasil rompakan, “satu untuk engkau, satu untuk aku”.

“Dalam parti cara pembahagian lain, dua untuk kamu, kosong untuk aku (Terengganu), Keadilan negeri lain dapat jawatan, Keadilan Terengganu dipinggirkan, Senator untuk kamu, telur ayam untuk aku,” katanya disambut tepukan dan sorakan dari para perwakilan. – MalaysiaGazette