Mohamad Sabu
Presiden Parti Amanah Negara merangkap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bercakap ketika sesi sidang media pada Konvensyen Parti Amanah Negeri Selangor kali Ketiga di Dewan Serbaguna MPSJ USJ 7, Subang Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 18 NOVEMBER 2018

SUBANG – Kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) akan memutuskan calon dan parti yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu berkata, jika mengikut tradisi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, kerusi DUN berkenaan adalah milik PKR.

“Kita tunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). PH akan putuskan.

“Kalau seperti PRU lalu, tempat (DUN) itu (Rantau) PKR tanding,” katanya.

Mohamad Sabu berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen PAN Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad menjangkakan PH akan menggunakan logo gabungan pada PRK berkenaan.

Kerusi DUN sebelum ini dimenangi Mohamad tanpa bertanding selepas calon PKR, Dr S Streram dihalang memasuki kawasan pengundian kerana tidak memiliki pas SPR.

Pada 23 Mei lalu, Streram memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan di kerusi DUN Rantau.

Bagaimanapun pada Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan kemenangan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, dibatalkan dan tidak sah.

SPR dijangka akan mengumumkan keputusan sama ada akan diadakan PRK DUN Rantau, selepas tamat tempoh rayuan mahkamah selama 14 hari bermula Jumaat.

Difahamkan, SPR akan menunggu keputusan daripada Mahkamah Persekutuan sekiranya ada pihak mengemukakan rayuan terhadap keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Seremban berhubung pembatalan kemenangan Mohamad, di DUN Rantau pada PRU lalu. – MalaysiaGazette