Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nik Nazmi Nik Ahmad.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu bertindak menggunakan etika dan moral yang tinggi tanpa mengamalkan amalan-amalan menindas atau menekan.

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, semua wakil rakyat tidak mengira parti perlu mempunyai tanggungjawab ketika dalam perbincangan awam.

Ini kerana, mereka telah mendapat kepercayaan dari pengundi di kawasan masing-masing, ujarnya.

“Tindakan tentu boleh diambil jika mana-mana wakil rakyat menyalahgunakan platform ini, seperti dengan menghasut kebencian kaum atau agama atau menyebarkan dakyah kepartian.

“Tetapi dalam kebanyakan kes, ahli politik harus dibenarkan masuk ke sekolah, kolej dan universiti apabila mereka dijemput untuk berbuat demikian.

“Saya tidak faham mengapa isu seperti ini masih timbul di Malaysia Baharu.

“Pakatan Harapan mestilah berbeza. Kita mesti melakukan lebih baik dalam hal ini dan semua perkara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nik Nazmi mengulas keputusan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mewajibkan ahli politik pembangkang meminta kebenaran dari Kementeriannya melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri yang berkaitan sebelum mereka boleh memasuki sekolah kerajaan.

Beliau berkata, mana-mana Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis Kerajaan tempatan sering dijemput ke institusi seperti itu.

Malah, jelas beliau sekolah merupakan tempat penting dalam kehidupan sivik dalam negara kita.

“Mengharamkan pihak pembangkang dari sekolah dan institusi pengajian lain adalah salah satu penyalahgunaan kuasa yang paling buruk di bawah pemerintahan Barisan Nasional sebelumnya.

“Ramai pimpinan Pakatan Harapan termasuk saya sendiri menjadi mangsa.

“Walaupun berkhidmat sebagai Exco Pendidikan Selangor dari 2014-2018, saya sentiasa dihalang daripada melawat sekolah-sekolah di sana.

“Saya juga dihalang daripada bercakap di alma mater saya, Kolej Yayasan UEM – kerana tekanan politik ke atas pentadbiran kolej.

“Saya masih ingat, saya terpaksa berpura-pura menjadi mahasiswa termasuk masuk ke kampus menggunakan motosikal bagi memenuhi jemputan di Universiti Malaya,” ujarnya menceritakan pengalaman ketika berada dalam blok pembangkang ketika kerajaan BN memerintah. – MalaysiaGazette