Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub. foto FAREEZ FADZIL, 3 OKTOBER 2017
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub. foto FAREEZ FADZIL, 3 OKTOBER 2017

SERDANG – Pakatan Harapan (PH) akan terus mempertahankan perlembagaan daripada digugat seperti yang dipersetujui dalam manifestonya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Salahuddin Ayub berkata, setakat ini beliau tidak nampak sebarang tindakan tidak baik yang akan menggugat perlembagaan di negara ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kegusaran Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menyatakan ada pihak cuba mengubah sosio politik negara dengan membawa kesaksamaan ala Barat.

“Kita ada perlembagaan dan sepanjang hidup di Malaysia bersandarkan perlembagaan dan ia masih terkawal serta akan terus diutamakan kerajaan PH seperti yang dipersetujui dalam manifesto untuk mempertahankan perlembagaan negara.

“Sekiranya merasakan hidup hari ini masih bersandarkan perlembagaan, maka saya tak nampak akan berlaku satu masa depan yang gelap bagi Malaysia.

“Maknanya, struktur utama seperti perlembagan, Raja Raja Melayu dan Bahasa Melayu bahasa rasmi semuanya diterima pakai oleh semua kaum seperti termaktub dalam perlembagaan..jadi saya tak bampak akan berlaku sesuatu tidak baik,” katanya kepada pemberita di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang di sini hari ini.

Beliau bercakap dalam sidang media media tour memantau persiapan akhir Pameran Pertanian, Hortikultur, Pelancangon Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 yang akan membuka tirai rasmi esok sehingga 2 Disember ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu juga diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang mendedahkan wujud cubaan pada 9 Mei lalu dari UMNO dan Pas untuk menarik ahli Parlimen Islam PH demi menukar kuasa pemerintahan.

“Sebagai PM (Tun M) dia ada banyak maklumat dan sumber yang boleh digunakan tapi apa yang penting selepas PRU lalu ialah kuasa kerajaan ditadbir dengan baik.

“Saya tidak boleh menafikan wujud pakatan itu (UMNO Pas pancing pemimpin PH) untuk siapa kembali kepada kuasa dan itu mungkin boleh berlaku.

“Sumber Tun M boleh diterima sebab beliau ada pengalaman sebagai bekas PM,” ujarnya.

Ditanya sama ada partinya tahu menahu mengenai cubaan itu dan ada menerima tawaran seumpama dari Pas dan UMNO, Salahuddin menjawab:”Saya tidak terima sebarang tawatan begitu mahu pun PAN, lagi pun kita komited dengan PH”.-MalaysiaGazette