Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan bahawa tiada sebarang arahan daripada pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk membeli mana-mana ahli Parlimen pada 9 Mei lalu.

Beliau berkata, ketika malam keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diumumkan, beliau sendiri berada di kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan tiada sebarang usaha ke arah itu.

“Pada malam tersebut selepas keputusan saya diumumkan di Rembau, saya telah pergi ke kediaman Datuk Seri Najib.

“Langsung tiada apa-apa usaha daripada Datuk Seri Najib, Datuk Seri Zahid pun hadir yang ada di situ termasuk Datuk Seri Hishammuddin dan Datuk Seri Tengku Adnan.

“Tidak ada apa-apa usaha untuk memancing, membeli mana-mana ahli Parlimen.

“Tiada usaha untuk membeli atau perancangan untuk menimbulkan kekecohan atau rusuhan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam wujudnya usaha untuk menarik ahli-ahli Parlimen PH khususnya PKR beragama Islam dan Melayu untuk membentuk kerajaan pada 9 Mei lalu.

Dr Mahathir berkata, usaha itu untuk menghimpunkan wakil rakyat beragama Islam daripada UMNO, Pas dan PH, supaya mereka mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan Melayu Islam.

Khairy Jamaluddin juga berkata, sebaliknya Ahli Parlimen Pekan itu hanya mengumumkan bahawa BN menerima keputusan dan kekalahan dalam PRU14 itu secara jelas.

“Datuk Seri Najib telah sebut dengan jelas waktu saya tiba di kediaman beliau bahawa kita mesti menerima keputusan ini dan esok kita akan umumkan bahawa BN terima keputusan ini dan serta kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri

“Sangat jelas dan saya ada di sana dan Datuk Seri Najib sebut dengan jelas bahawa kita terima keputusan dan kekalahan ini,” katanya.

Ditanya tentang pendedahan Dr Mahathir itu didakwa cuba memfitnah BN, Khairy Jamaluddin bagaimana enggan mengulas lanjut kerana hanya Perdana Menteri itu sendiri mempunyai maklumat tersebut.

“Saya tak pasti apa maklumat yang Perdana Menteri ada. Saya boleh cakap apa saya sendiri lihat dan dengar sebab saya sendiri bersama Datuk Seri Najib

“Kalau ada maklumat orang lain yang tidak ada di kediaman Datuk Seri Najib, yang buat kerja tersebut, saya tak pasti.

“Tapi saya bersama kepimpinan UMNO dan BN. Sudah pasti kalau ada usaha untuk cuba membeli ahli Parlimen, ia mesti datang daripada atas, dapat restu atau dapat arahan dari atas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada arahan pancing ahli Parlimen PH – Najib