PETALING JAYA – Ada pihak berkepentingan yang sengaja mahu menggunakan isu ‘kaum’ bagi memastikan agenda untuk menghalau penganut serta penghuni kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya.

Malah secara terbuka, warga kuil yang diketuai oleh S. Ramaji mendakwa pihak berkepentingan yang bertindak seperti pengecut dengan menghantar sekumpulan orangnya untuk melakukan serangan tersebut.

“Mereka tahu apabila menggunakan isu berbaur perkauman, perkara ini akan merebak dengan begitu pantas kerana membabitkan sensitiviti agama.

“Ia sekali gus akan mendatangkan masalah lebih besar pada kuil ini, ini bukan isu perkauman, jangan cuba putar belit dan cuba pamer seolah-olah kami bermasalah,” katanya sebentar tadi.

Ramaji menegaskan, pengurusan kuil sudah memutuskan untuk membuat laporan polis susulan kejadian apatah lagi ada antara pengikut yang tercedera dalam kekecohan terbabit, termasuk seorang wanita tua dan kanak-kanak perempuan.

“Pengikut wanita itu berada dalam keadaan uzur dan memerlukan tongkat untuk berjalan.

“Salah seorang dari dua mangsa itu terjatuh dan dipijak pula di bahagian dada oleh penyerang terbabit,” katanya.

Sami kuil S. Jayakumar pula berkata, mereka tidak akan mengosongkan kuil itu dan mahu kerajaan negeri campur tangan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Kami tidak akan meninggalkan kuil ini dan tidak mahu lebih banyak kuil Hindu dimusnahkan. Kami undi kerajaan baharu supaya pembaharuan boleh dilakukan dan bukan sebaliknya. Tolong bantu kami selesai isu ini

Adakah kami diperlakukan seperti ini kerana kami golongan minoriti? Cukuplah, kini kita ada lebih ramai pemimpin dalam kalangan masyarakat India yang sedia maklum tentang keperitan serta isu berkait masalah masyarakat India,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran berkata, MIC mengutuk sekeras-kerasnya insiden berkenaan dan tidak akan bertolak ansur dalam isu seperti ini yang sengaja dibawakan pihak tertentu untuk membangkitkan kemelut antara kaum.

“Tidak kisah pembangkang atau kerajaan ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan pada masa ini, kes membabitkan kuil masih dalam bidang kuasa mahkamah.

“Mengapa pula pihak tidak bertanggungjawab ini mahu melakukan semua perkara bodoh ini dan kemudian menyalahkan politik sedangkan semua orang tahu, kita hidup bersatu padu selama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy meminta rakyat bertenang dan membiarkan pihak berkuasa menyiasat secara terperinci berhubung perkara itu.

“Pagi ini sudah kecoh dalam laman sosial video serta pelbagai spekulasi berhubung rusuhan awal pagi tadi yang turut menjadi provokasi sesetengah pihak.

“Saya sudah bercakap Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengenai perkara ini dan juga kebimbangan umum tentang ancaman kebebasan agama serta keharmonian semua kaum.

“Beliau telah berjanji untuk lakukan yang terbaik dalam siasatan ini selain menjamin semuanya dalam kawalan, mohon semua bertenang dan biarkan pihak berkuasa lakukan yang terbaik tangani isu ini, henti juga sebar perkara yang boleh cetus ketegangan antara kaum,” katanya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast