KUALA LUMPUR – Untuk seketika, keadaan menjadi tegang dan panik, malah terbayang rusuhan kaum akan berlaku di negara ini selepas insiden pergaduhan besar di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya malam tadi.

Lebih malang apabila ada pihak yang terburu-buru dan melulu mengeluarkan kenyataan kononnya itu adalah rusuhan kaum antara masyarakat India dan Muslim berhubung perobohan kuil itu.

Dalam entri Facebook yang ‘pertama’oleh Exco Selangor, Ganabatirau Veraman mendakwa pergaduhan di kuil itu membabitkan sekumpulan penganut agama Islam dan Hindu adalah punca kepada tersebarnya khabar angin kononnya perkara itu berunsur perkauman.

Hakikat sebenar adalah pergaduhan berkenaan didakwa berpunca daripada sekumpulan samseng untuk menimbulkan huru hara di premis itu.

Ia diakui oleh penduduk dan warga kuil ketika dihubungi MalaysiaGazette sebentar tadi.

“Ia bukan rusuhan kaum seperti didakwa. Ada pihak cuba mempolitikkan isu ini sehingga menimbulkan ketegangan antara kaum,” katanya.

Ganabatirau sebelum ini dalam kenyataan di Facebook mendakwa, pencerobohan kuil berkenaan didalangi sekumpulan penganut agama Islam dan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau berkata, insiden itu disifatkan sebagai satu perbuatan pengecut yang hanya mahu merosakkan kedamaian negara.

Katanya, penceroboh berkenaan terdiri daripada beberapa individu yang dilengkapi senjata berbahaya dan turut menyerang orang awam di dalam kuil itu.

“Serangan oleh sekumpulan penduduk Islam ini menunjukkan ada cubaan untuk merosakkan keharmonian negara dan ia wajar dibasmi segera,” katanya.

Susulan kenyataan itu, orang ramai mula panik dan khabar angin bahawa rusuhan perkauman akan berlaku mula tersebar luar, khususnya di media sosial.

Ia sedikit sebanyak mencetuskan rasa tidak puas hati di pihak tertentu, apatah lagi apabila ia menyentuh sensitiviti keagamaan komuniti utama di Malaysia.

Shot kedua

Ganabatirau kemudian bertindak menyunting kenyataan itu dengan mendakwa kekacauan terbabit dicetuskan sekumpulan gengster akibat perselisihan antara pengurusan kuil.

“Isu penempatan semula kuil ini adalah kesan daripada pertelingkahan antara dua kumpulan pengurusan.

“Dalam hal ini kerajaan Selangor berpegang pada keputusan bahawa semua pihak perlu mematuhi perintah dikeluarkan mahkamah,” katanya dalam kenyataan yang sudah disunting itu. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast