Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berucap membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2018
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggesa pihak yang berhasrat untuk memperkenalkan matawang digital baharu supaya memeriksa garis panduan Bank Negara Malaysia terlebih dahulu.

Dalam jawapan balasnya kepada Datin Dr. Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) di Dewan Rakyat hari ini, Guan Eng berkata, Bank Negara mempunyai kuasa penuh berhubung perkara matawang digital.

“Kita perlu berhati-hati dengan matawang digital kerana Bank Negara masih menjalankan kajian terperinci mengenai perkara ini.

“Terdapat beberapa pihak yang berminat untuk mengeluarkan mekanisme matawang digital mereka sendiri, jadi saya ingin memaklumkan kepada semua, tidak kiralah siapa pun anda, tolong rujuk perkara tersebut dengan Bank Negara bagi mengelakkan sebarang masalah.

“Ini kerana Bank Negara mempunyai kuasa mutlak ke atas mekanisme kewangan di dalam negara.

“Jangan lakukan sesuatu yang melanggar garis panduan atau arahan yang telah dikeluarkan oleh bank pusat,” katanya.

Sebelum itu, Tan bertanyakan sama ada kerajaan akan mewujudkan pihak berkuasa baharu untuk memantau operasi matawang digital di negara ini.

Menteri Wilayah, Khalid Samad sebelum ini pernah membuat kenyataan, parti pemerintah Pakatan Harapan akan melancarkan matawang digital yang diberi nama Harapan Coin.

Kenyataan tersebut bagaimanapun mendapat reaksi pelbagai daripada banyak pihak kerana Malaysia masih belum meregulasi penggunaan matawang digital setakat ini.- MalaysiaGazette