Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pengenalan mata wang kripto baharu iaitu Harapan Coin perlu mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan, ini kerana kerangka mata wang itu yang sedang disiapkan itu terpakai kepada semua pengendali yang berminat memperkenalkan mata wang kripto.

Jelas Ahli Parlimen Bagan itu, beliau telah berkomunikasi dengan menteri yang mengeluarkan kenyataan tentang pengenalan Harapan Coin.

“Beliau sudah berjanji untuk tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan lagi tentang Harapan Coin selepas ini,” katanya merujuk kepada Menteri Wilayah, Khalid Samad.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Fintech 2018 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar.

Sebelum ini, Khalid dilaporkan berkata, wujud usaha menjadikan Harapan Coin sebagai matawang kripto kebangsaan dan digunakan dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada masa depan.

Beliau berkata, cadangan berkenaan dikemukakan ketika pelancaran Harapan Coin pada Mei lalu.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, SC sedang menyediakan rangka kerja mata wang kripto dan berharap ia dapat dilancarkan pada awal tahun depan.

Beliau berkata, sebarang pengenalan mata wang itu perlu menunggu sehingga rangka kerja itu siap sepenuh.

Jelas beliau, segala cadangan tentang mata wang kripto itu boleh dirujuk kepada SC dan Bank Negara Malaysia. – MalaysiaGazette