Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan perjumpaan khas bersama Senator Barisan Nasional (BN) di Pejabat Barisan Nasional (BN), Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 02 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak bercadang untuk merombak kuota kerusi pilihan raya yang diperuntukan kepada parti komponen.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai contoh, kerusi Parlimen Cameron Highland dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, yang masing-masing milik MIC serta UMNO.

Katanya, dalam konteks Cameron Highland, BN akan menyerahkan kepada Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran untuk mengumumkan siapa calonnya, begitu juga dengan calon UMNO di PRK DUN Rantau akan diumumkan oleh beliau selaku Presiden.

“Itu (Cameron Highland) kerusi MIC. Kita amat menghormati konvensyen yang telah kita persetujukan bersama, iaitu jika kerusi itu telah diperuntukan kepada rakan komponen, maka kita akan memberikan sekali lagi kepercayaan kepada calon yang dipilih oleh parti berkenaan.

“Dari segi adat berpolitik, Ahli Parlimen yang telah mewakili BN dan menang harus diberikan peluang semula, sama ada beliau memohon untuk membuat rayuan atau sebaliknya, kita serahkan kepada MIC untuk menentukannya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perjumpaan khas bersama Senator BN di Pejabat BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Ditanya mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mula bertapak di Sarawak, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memberitahu, beliau menghormati kehendak rakyat negeri itu terutama rakyat pribuminya.

Kata beliau, UMNO membuat keputusan untuk tidak kembangkan parti itu di Sarawak kerana menghormati rakyat negeri itu, yang mempunyai citarasa berlainan berbanding negeri lain.

“Bagaimanapun, saya yakin rakyat Sarawak terutama pribuminya akan menolak kehadiran parti PPBM kerana hakikatnya mereka lebih dekat dengan parti yang berasaskan kepada sebuah parti atau beberapa parti politik yang ada kepentingan Sarawak secara khususnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast