Wee Ka Siong
Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Walaupun hanya menang satu kerusi Parlimen, MCA masih bersikap ego dan sombong apabila enggan mengakui kelemahan sendiri dalam menambah atau sekurang-kurangnya mempertahankan kerusi sedia ada pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Dengan menuding jari menyalahkan rakan komponen Barisan Nasional (BN) yang lain atas kekalahan teruknya itu, MCA jelas berhidung tinggi apabila menjadikan kerjasama politik UMNO dengan Pas sebagai alasan untuk merea keluar dari BN.

Bayangkan, daripada 37 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, MCA hanya menang kerusi Ayer Hitam sahaja, manakala 36 kerusi lagi, termasuk bekas Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai kecundang kepada calon muka baharu Pakatan Harapan (PH).

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Ucapan Dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA di Wisma MCA di sini, hari ini, Presiden baharunya, Datuk Wee Ka Siong banyak menempelak wartawan yang mengajukan soalan berkaitan keputusan parti itu dalam BN.

“Awak perwakilankah? Mesyuarat (persidangan) belum habis, awak sudah buat bermacam konklusi (berhubung) kedudukan MCA dalam BN.

“Tunggulah (persidangan) habis dulu. Beri peluang kepada perwakilan berbahas dan menyatakan kemahuan mereka.

“Nanti petang, saya akan beritahu awak,” katanya yang agak beremosi dengan soalan berkaitan kedudukan MCA dalam BN.

Soalan itu menjadi ‘panas’ apabila beberapa pemimpin MCA sebelum ini membayangkan hasrat parti itu untuk keluar dari BN dengan alasan gabungan bersama UMNO dan MIC itu sebagai tidak lagi relevan.

Bagaimanapun, media dimaklumkan sesi perbahasan perhimpunan agung tahunan parti itu diadakan secara tertutup.

Namun begitu, Ka Siong memberi jaminan akan memaklumkan kepada media resolusi yang dicapai perwakilan dan parti itu pada petang ini.

“Jawapan saya sangat jelas, tunggu hingga resolusi muktamad akhir Perhimpunan Agung Tahunan MCA nanti,” katanya.

Mengenai resolusi Pemuda MCA yang mahu BN dibubarkan, beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam enggan mengulas lanjut, sebaliknya meminta wartawan melihat semula resolusi asal.

Beliau juga enggan memberitau usul yang akan diluluskan dalam resolusi itu, tetapi berpesan kepada perwakilan agar berbincang secara rasional, bukan emosi.

Ini kerana, katanya, setiap keputusan yang memberi kesan jangka panjang kepada parti dan kepemimpinan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast